Kenali personaliti anda !

Assalamualaikum. Cuti mid semester, Ramadhan yang lalu sempat kuisi dengan menghabiskan buku Personality Plus, buah tangan penulis buku terlaris, Florence Littauer. Selepas dipromo oleh seorang sahabat, beliau sudi meminjamkan buku tersebut yang pada pengamatan saya, agak menarik untuk diterokai oleh rakan-rakan sekalian.

Florence Litteur menguraikan empat corak perangai atau sikap manusia. Setiap empat kelas ini diolah dengan begitu mendalam oleh beliau hasil kajian bertahun lamanya. Jika kita memahami setiap pengkelasan ini, tidak mustahil kita dapat memahami sikap sahabat-sahabat kita dengan lebih mendalam dan amat membantu dalam perhubungan seharian.

Golongan pertama ialah Sanguine. Mereka lebih bersikap happy go lucky dan agak disenangi oleh orang lain, malah sentiasa mencuri perhatian apabila berkumpul beramai-ramai. Mereka seringkali berbicara tanpa henti dan sering mengundang tawa sahabat yang lain. Hidup mereka penuh warna-warni dan menjadi penghibur kepada sahabat lain. Namun, golongan ini sedikit pelupa, sukar untuk menumpukan perhatian pada sesuatu pekerjaan, cenderung untuk berfikiran ‘pendek’ dan hidupnya kurang teratur. Mereka kurang menepati masa dan lupa pada perancangan yang telah direncanakan.

Golongan kedua ialah Melancholy. Mereka agak kontra berbanding golongan sanguine. Cenderung kepada sesuatu yang teratur, rapi dan tersusun, golongan ini juga gemar untuk melukis carta atau peta minda dalam setiap tugasannya dan memikirkan segalanya secara mendalam. Dalam sesebuah perbincangan, golongan Sanguine pasti mendominasi perbincangan tersebut dengan petah bicaranya, namun, golongan ini memilih untuk menganalisa, berfikir, mempertimbang dan hanya mendiamkan diri. Jika ada perkara yang diutarakan, pastinya itu adalah hasil dari pemikirannya yang agak mendalam. Namun, mereka agak senang untuk berputus asa dan tewas pada tekanan. Mereka juga terlalu perfectionist dan perlukan masa untuk menghasilkan suatu kerja yang dharapkan (anti last minute).

Golongan ketiga ialah Choleric. Mereka cenderung untuk memerintah dan menyuruh orang lain membuat kerja seperti yang dikehendakinya. Mereka amat benci jika ada 'ahli tidur' dalam kumpulannya. Jika terlibat dalam aktiviti berkumpulan, golongan ini lebih bersikap bossy dan lazimnya, golongan ini akan mengepalai perbincangan tersebut. Mereka sukar untuk menerima pendapat orang lain dan tegas dengan pendirian mereka. Oleh sebab itu, kebanyakan daripada mereka agak kurang disenangi oleh rakan sekeliling. Mereka juga cekap mengerjakan sesuatu perkara dan sangat ‘goal-oriented’. Namun, golongan ini agak sukar untuk mengungkap kata maaf dan takut jika dikawal oleh orang lain. Mereka agak overconfident dan sukar untuk bertenang.

Golongan keempat ialah Phlegmatic. Golongan ini bolehlah saya simpulkan sebagai 'si tenang'. Mereka tidak suka sebarang konflik dan gemar mengalah pada sesuatu perkara. Mereka bersikap neutral dan sukar untuk membuat keputusan. Gemarkan keharmonian, mereka mengambil berat tentang masalah sekeliling dan sering menjadi pendengar masalah sahabat-sahabat mereka. Golongan ini biasanya mempunyai ramai kawan dari pelbagai latar belakang dan fleksibel serta pandai menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan atau situasi. Namun, sikap terlalu bertenang boleh menyebabkan rakan-rakan mereka agak bimbang jika berkerja dengan mereka. Mereka juga agak cuai dan sedikit degil serta kurang motivasi.

Menurut kajian beliau, setiap daripada kita mempunyai kualiti-kualiti di atas. Yang berbeza hanyalah kadarnya. Oleh sebab itu, mungkin juga seseorang itu mempunyai kombinasi mana-mana golongan seperti yang diperincikan di atas. Buku ini juga menghuraikan langkah-langkah untuk mengatasi kelemahan bagi watak masing-masing. Namun perlu diingat, anda haruslah mengenali diri anda dahulu.

Adakah anda dominan di Sanguine yang ceria sepanjang masa? Atau anda seorang yang bossy dan tergolong dalam kumpulan Choleric? Mungkin juga anda selalu play safe dan mengelak sebarang konflik untuk melayakkan anda menjadi Phlegmatic person. Atau anda mungkin lebih bersikap memerhati dan menganalisa seperti melancholic person. Di manakah anda? Satu kuiz disediakan di awal buku ini untuk mengenal pasti siapakah diri anda yang sebenar. Dan anda juga boleh mengklasifikasikan rakan-rakan anda mengikut pengkelasan yang diberikan untuk lebih memahami mereka.

Buku ini agak sukar ditemui di pasaran. Beberapa rangkaian kedai Popular tidak menjual buku ini. Oktober lalu, saya berkesempatan memiliki buku ini ketika singgah di The Borders, Queensbay Mall, Penang walaupun sudah habis membacanya ketika cuti yang lalu. Kini, buku ini available untuk dipinjam. Terima kasih sekali lagi kepada sahabat yang memperkenalkan buku yang agak menarik ini. Jazakillah. Itu sahaja untuk kali ini. Selamat bercuti~

Do understand others by understanding yourself!

Wassalam~
1 Response