Di sini bermula...

Gambar: Masjid UIAM Indera Mahkota, Kuantan, Pahang

.:: Alhamdulillah ::.
.:: Alhamdulillah ::.
.:: Alhamdulillah ::.
(Ceritera Sang Kuchalana: Coretan hari ini untuk kenangan hari esok)


Cerita Laman Iqra




Langit gelap terdampar luas, diboboti bintang-bintang bergemerlapan, sedikit cerah dengan suluhan setia sang purnama. Tiga lelaki melangkah keluar dari sebongkah merah, menapak ke perut rumah. Langkah mereka terhenti seketika di pagar karat. Kepala didongak menikmati lukisan agung ya Rabbul Jalil. Subhanallah. Bayu dingin prahara malam meniup lembut, meresap segar. Lelaki pertama bersuara, berkopiah putih bersih.

“Guano projek DnT kito. Eh, demo keno buat skim pinjamei buku dok. Demo nok buat guano?”

“ Hor, kawe buat blog kot. Pernah jugok bena, terpikir nok buat blog review buku. Sajo-sajo jah. Dok la puah sangat maso khejo kekgi. Kurang-kurang ado bendo nok buat. Doh DnT suruh buat projek pinjaman buku ni, kawe wat slalu kot blog tu. Ke gane,” terangku.

“Hor molek-molek,” sampuk lelaki ketiga, pemimpin gagasan ukhuwwah kami. Perbualan kami berterusan mengorbankan hampir setengah jam di bawah terang bulan.

Di situlah bermulanya Laman Iqra. Pada awalnya, saya ditugaskan untuk mengendalikan skim pinjaman bahan ilmiah. Projek ini memberi peluang kepada rakan-rakan untuk berkongsi buku-buku yang mereka ada untuk bacaan sahabat yang lain. Saya membina sebuah blog khas untuk projek ini. Idea ‘blog book review’ ini sudah lama terbuku kat kepala ni, tapi dizahirkan selepas tugasan ini diamanahkan. Tapi,kebanyakan book review kat dalam blog tu hanya disalin daripada cover belakang buku-buku tersebut. Hanya jika ada masa terluang, ulasan peribadi pembaca tentang buku itu dikongsi bersama untuk tatapan umum.

Sambutan terhadap buku-buku pinjaman memang kurang memberangsangkan. Memang sudah dijangka. Haha. Lagipun,niat asal saya nak buat Laman Iqra tu, hanya untuk perkongsian info sahaja, bukan untuk pinjaman. Tapi tak apa. DnT menggunakan platform Laman Iqra untuk menyediakan khidmat pinjaman. Setakat ini, lebih kurang 5 buah buku sudah dipinjam. Teringat masa mula-mula projek ni start dulu.

"Min, jolo ko nok buat skim pinjaman buku ni. Kawe segho memei takdok oghe nok pinjam. Sek-sek kito sibuk blako sem ni. Takdok maso nok pinje, baco buku-buku ni.”

“Takpo, pik. Demo buat dulu. Oghe nok pinje ko dok laen cito. Hok peting, kito usoho doh. InsyaAllah buleh doh pahalo situ. Kito dok rugi gapo-gapo pun, bukan keno wat khejo berat pun. Buku-buku pun, hok kito belako,” Itu jawapan Shahmin, ketua DnT berkaliber ketika saya mempersoalkan projek ini suatu ketika dahulu.

Ketika IPhA leadership camp aritu, Aizuddin, presiden IPhA ada mengutarakan cadangan nak buat projek bedah buku. Lecturer-lecturer akan dijemput untuk promosikan buku-buku dan beliau memohon untuk menggunakan Laman Iqra. Nanti beliau akan bagitau kot kalau jadi.
Bersama Ustaz Pahrol Md Juoi (tiga dari kanan)


Akhir kata, saya ingin kongsikan kata-kata Ustaz Pahrol Mohd Juoi ketika menghadiri ceramahnya di Auditorium KOM semalam.

“Ilmu itu mengalir ibarat air. Air mengalir dari atas ke bawah, itu Sunnatullah. Mana tempat yang paling rendah, di situ banyak terkumpul air. Sebab itu, tadahlah ilmu dengan hati yang merendah diri. Semakin kita merendah diri ketika menimba ilmu, semakin banyak yang kita dapat, InsyaAllah.”

“Air yang static akan berkarat dan mengumpulkan keladak manakala air yang mengalir tidak akan berkarat. Begitulah sifat orang yang berjaya di dunia dan di akhirat, orang yang sentiasa belajar (continuous learning). Leaders are learners. Apabila kita berhenti belajar, kita akan berhenti memimpin.”

“ Jika mata tak nampak ketika tiada cahaya, hati tidak akan nampak bila tidak ada ilmu. Ilmu itu cahaya manakala kejahilan itu adalah kegelapan.”

Wallahu’alam~

Interview SPA: Terengganu, Politik, Leadership dan Tembakau.


" Sesi interview ibarat anda menjual dan mempromosikan diri anda. Hadapilah dengan yakin dan tawan mereka dengan kata-katamu,"
Interview and Resume Writing Workshop, Hotel Grand Continental, 2009


Tempat: Pejabat temuduga SPA, Mahkota Square, Kuantan
Tarikh: 10/02/2010 (Hepi Birthday Syafiyya Nur Farisya !)
Jam: 11.40 AM

Interviewers
Y. Bhg. Dato’ Dr. HRHR,
TKP Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia

Tuan Hj. AZR
Ketua Pegawai Farmasi, Jabatan Farmasi HTAA, Kuantan Pahang.




Dato' (D): Where are you from?

S: I’m from Kuala Terengganu

D: Tell me about your life in Terengganu.

S: (blank tak tahu nak jawab ape..start la dengan 'please introduce yourself ke..haish)
I live in Kuala Terengganu since I was born on 1986. My mother and my father are also from Kuala Terengganu. Start my preschool at Kuala Terengganu until I took my SPM at SM Sains Kuala Terengganu. That’s why I can say that I am purely a Terengganu people and I am proud to be that. First time I went out from Terengganu was during national service when I was placed at Perlis in 2004.

D: nangis tak mase tu? (sambil gelak) Tak kan.

S: Haha..takde la..

D: Ok. Tell me what’s so special about you.

S: I have involved in quite numbers of programmes, from society level until international level. I have wide experience in managing events and lead peoples. I have cooperated with many people and with these experiences; I manage to handle people with different personalities quite well. I have attended lots of training, workshop, conference and symposium, and I able to equip myself with these additional knowledge besides pharmacy alone. (english yang berterabur)

D: Ok. Awak aktif di kolej (Sambil membelek-belek sijil). Pernah pegang post apa-apa?

S: Ya. Saya agak aktif di kolej. Saya merupakan bekas presiden Persatuan Pelajar Farmasi UIAM.

D: Setahun je jadi?

S: Ya. Setahun saja. Di Fakulti kami, jawatan presiden diperuntukkan untuk pelajar tahun tiga.

D: Owh. So, sekarang buat apa?

S: Sekarang, saya menjadi Ketua Koordinator IIUM Green Lung, organisasi pengawalan tembakau di bawah kelolaan Pusat Racun Negara. Sekarang, organisasi ini masih di peringkat penubuhan dan saya merupakan antara pengasas organisasi ini.

D: Bagus-bagus. Emm, Awak orang Terengganu. Apa isu-isu di Terengganu yang sedang berlaku?

S: Yang terbaru, lawatan Perdana Menteri Uzbekistan ke Wisma Darul Iman, bertemu dengan Datuk Ahmad Said. Uzbekistan akan mewujudkan kerjasama dua hala dengan negeri Terengganu dalam beberapa sector yang berpotensi.

D: Uzbekistan eh. Kerjasama apa?

S: Seperti yang kita sedia maklum, Uzbekistan kaya dan terkenal dengan industri tekstilnya. Melihatkan potensi yang ada pada Terengganu yang masyhur dengan batik dan songketnya, jadi , mereka menjalinkan kerjasama dua hala untuk memperkembangkan lagi industri ini.

D: Okei. Isu lain yang awak tahu?

S: Emm. Sebulan dua ni, tidak ada isu sangat di Terengganu.

D: takkan takde kot. Dah lame tak balik Terengganu ke (gelak-gelak)

S: Haha (Sambut gelak). Selalu je saya balik. Okei, isu lain yang terkini saya kurang pasti, tapi isu-isu tahun lepas saya ingat.

D: Apa dia?

S: (Nak sebut ke tak ni?? Sebut je la) Isu perebutan Menteri Besar Terengganu.

D: (Tersenyum panjang) Owh. Berebut Menteri besar eh.

S: Ya. Di DUN Terengganu, terdapat dua puak. Puak Bekas MB, Datuk Seri Idris Jusoh dan Puak MB Sekarang, Datuk Ahmad Said. Pada pendapat saya, kedua-dua tokoh ini mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing. Tapi, pihak bekas MB sepatutnya menerima pilihan istana, Datuk Ahmad Said dengan hati terbuka dan pergaduhan dan perpecahan ini tidak membawa apa-apa keuntungan, terutamanya kepada rakyat itu sendiri.

D: Ya betul. Buat apa gaduh-gaduh. Sepatutnya, masing-masing buat kerja dan tak perlu nak berebut-rebut.

S: Ya, betul kata Dato’.

D: Awak rasa, kenapa mereka berebut? Kenapa berlakunya perebutan ni?

S: (Aish, bagi bola tanggung ni..takkan nak smash je..takboleh2) Emm, masalah dalaman, mungkin.

D: Masalah apa?

S: Masalah dalam UMNO itu sendiri. (Nak cerita tentang bagaimana Ustaz Azizan naik sebagai MB Kedah tanpa sebarang masalah, tapi terpaksa batalkan hasrat. Ini temuduga SPA, ok)

D: Okei2. Isu lain yang awak tahu?

(berbicara tentang stadium runtuh, monsoon cup, keropok lekor tercemar taun)

D: Di Terengganu ada Masjid Kristal kan. Di mana eh. Pulau Wan…emm..

S: Ya, Masjid Kristal di Pulan Wan Man.

D: Tak ada orang sembahyang jumaat kat situ kan. Kenapa ye?

S: Ya. Kampung Losong, berdekatan dengan Taman Tamadun Islam tu mempunyai masjid mereka sendiri. Tiada penduduk yang mendiami Pulau Wan Man.

D: Owh, masjid tu tak besar sangat sizenya kan.

S: Ya. Kecil je. Direkabentuk untuk tujuan hiasan dan perlancongan (menahan diri daripada berbicara tentang pembaziran).

D: Owh, kalau kecil, saiznya macam surau je la kan. Surau Kristal…tak sedap pulak bunyinya. Masjid Kristal la lagi sedap bunyinya kan (gelak-gelak)

S: haha. Tak sesuai pulak kalau Surau Kristal namanya (gelak).

D: Okei. Sebagai presiden, apa yang awak dah lakukan.

S: Saya mengepalai persatuan ini dengan azam untuk menaikkan persatuan ke tahap yang lebih tinggi. Semasa mula-mula saya menerima tanggungjawab ini, saya memasang impian agar pentadbiran saya mencipta sejarah baru dan memberi impak besar dalam IPhA. Dari sini terhasillah impian saya untuk menganjurkan kuiz farmasi kebangsaan buat julung kali di Malaysia. Website rasmi IPhA turut diwujudkan dan kini, laman web ini menjadi medium penting buat pelajar mendownload nota-nota, soalan-soalan serta perbincangan mengenai akademik. Saya juga menyahut seruan presiden-presiden terdahulu supaya membawa nama IPhA ke peringkat yang lebih tinggi. Bulan Jun yang lalu diadakan Simposium Farmasi Asia Pasifik dan Alhamdulillah, kami berjaya menghantar 15 peserta ke program antarabangsa tersebut.

D: (Menangguk-angguk) Okei.

(Memberi laluan kepada Tuan Zaki)

Tuan Zaki (T): Awak banyak cakap pasal Terengganu tadi. Mesti awak pilih Terengganu. (sambil meneliti borang di tangan)

S: (Tersenyum dan tersengih)

T: Selain aktiviti-aktiviti yang awak ceritakan tadi, apa lagi program yang awak sertai.

S: (Pasal program lagi) Emm. Banyak lagi sebenarnya program yang saya sertai. Yang terbaru, saya membawa 12 junior saya, 1st year dan 2nd year ke Kem Kawalan Tembakau antara universiti di Kulim. Bengkel ini memeberikan pendedahan kepada mereka untuk meneruskan usaha kami di IIUM Green Lung. Di sana, mereka mendapat pendedahan yang menyeluruh tentang rokok, program-program etc.

T: Awak tahu tentang bahaya merokok. Bagaimana awak sampaikan pada pesakit atau klien awak?

S: Mula-mula sekali, ceritakan tentang situasi di Malaysia. Rokok telah menyebabkan bla3. 9 dari 10 kematian pesakit kanser paru-paru berpunca dari rokok. (penyakit lain, bla3) Then, ceritakan tentang kesan asap rokok basi pada mereka. Jika mereka tidak sayangkan nyawa mereka, sayanglah orang di sekeliling mereka. Asap rokok basi sangat berbahaya. Saiznya amat kecil dan jika di bandingkan dengan saiz rambut (sambil buat isyarat bulat dan titik kecil di tengahnya). Ini menyebabkan partikel itu mampu masuk ke sekecil-kecil ruang dalam alveoli kita. Sebab itu, penggunaan ventilator bla3 (pasal kawasan larangan merokok, size less than 2.5 particulate micron, smoking longue etc)

T: Okei. Ada perokok di Fakulti Farmasi UIA?

S: Secara jujurnya, ya. Tapi bilangannya tidak membimbangkan.

T: Bagaimana sambutan program anti rokok di UIA jika ramai antara mereka yang masih merokok.

S: Masalah rokok di UIA Kuantan tidak seteruk di UIA Gombak. Mungkin kerana bilangan pelajarnya yang sedikit dan kebanyakan daripada mereka mengambil jurusan-jurusan perubatan, farmasi etc. Walaupun kadangkala kami tidak mampu mengubah tabiat merokok mereka, sekurang-kurangnya, mereka lebih tahu, fakta-fakta serta kajian terkini tentang bahaya rokok melalui program-program kami.

T: (membelek-belek sijil) Awak sertai program dialog perbandingan agama?

S: Ya. Program itu mendapat sambutan luar biasa, menghimpunkan wakil dari 4 agama dan membicarakan tentang agama masing-masing.

T: Owh, program ni hari sabtu kan. Sebab sambutannya hebat sangat sampai program hari ahad tu tak ada orang datang. Kawan awak bagitahu tadi. Awak tahu program apa?

S: Seminar Early Marriage?

T: Ya. Sebagai presiden, awak sepatutnya mengelakkan pertembungan dua program seperti ini. Nanti, affect next program jika dibuat sabtu dan ahad.

S: Ya. Saya bersetuju dengan tuan. Tapi program sabtu dan ahad secara berturutan adalah perkara biasa di tempat kami. Dan antara factor kekurangan peserta ke seminar early marriage kerana mereka segan. Kalau pergi, nanti orang cakap nak kahwin awal pulak (Gelak skit).

T dan D : Owh. Okei2. Patut la (mengangguk-angguk sambil menyambut gelak)

Dato’mencelah

D: Saya tertarik dengan kenyataan awak tadi mengatakan program Tak Nak adalah satu projek yang gagal

S: Ya, saya rasa projek itu gagal.

D: kenapa awak cakap projek itu gagal?

S: Kerajaan telah membelanjakan berpuluh juta ringgit untuk projek ini, dan hasilnya kita sendiri boleh menilai di mana tiada perubahan ketara dapat dilihat dan bilangan perokok di Malaysia terus meningkat.

D: Bagaimana awak menilai tahap keberkesanan projek tu?

S: Kita boleh melihat di hospital-hospital di mana pesakit-pesakit bla3..... (cerita pasal jumlah pesakit akibat rokok yang makin meningkat)

D: Awak tak boleh terus judge mengatakan projek ini gagal. Kalau tak ada projek ni, graf perokok mungkin bertambah macam ni (isyarat tangan-kadar peningkatan yang tinggi) dan selepas program, mungkin grafnya seperti ini (isyarat tangan-masih meningkat tapi slopenya berkurang). Ini juga boleh disifatkan kejayaan. Kita tidak boleh mengharapkan grafnya terus menurun.

S: Ya, betul.

D: baru-baru ni. Menteri penerangan mengumumkan 60% rakyat Malaysia sudah memahami konsep gagasan 1 Malaysia. Awak percaya fakta ni?

S: Jika beliau menyokong fakta tu dengan evidence2 seperti keputusan survey dan sebagainya, mungkin saya boleh terima.

D: Ya, betul. Setiap rancangan atau pelan mesti ada target dan objektifnya, serta cara pengukuran prestasinya. Berjaya atau tidak, bergantung pada bla3.... Yang penting semua kena buat kerja. Macam kita bincang pasal Datuk Ahmad said vs Dato Seri Idris jusoh tadi, mereka sepatutnya bla3..... Semua kena buat kerja. Barulah bla3.......

(Kami bersembang pasal facilities di Terengganu pulak)

D: Okei. Nanti, awak jadi MB Terengganu. Awak kena ingat semua pesan-pesan saya ni. Jangan bla3..... Macam isu tadi, mereka hanya berebut bla3...... (panjang la pulak nasihat dato' ni)

S: (MB Terengganu???) Ya, Dato’. Saya faham. Terima kasih.

D: Ok,itu sahaja.

S: (Beredar mengambil file) Terima kasih. Assalamualaikum.

D dan T: Waalaikumussalam.

FAKTA 1: Tiada satu pun soalan tentang pharmacy diajukan. Penat je prepare.
FAKTA 2: Segalanya tentang Terengganu. Harap-harap dapat Hospital KT.
FAKTA 3: Seronok betul bersembang dengan Dato'. Setiap saat, beliau tersenyum ceria.
FAKTA 4: Ada pulak terkeluar pasal politik. Dah memang makanan aku, berapi-api la cerita. Heheh.
FAKTA 5: MB Terengganu ?????? Kompius~

>>>terasa seperti ditemuduga untuk jawatan Pegawai Tadbir Diplomat (PTD), instead of Pharmacist U41..
Bismillahi Tawakkaltu 'Alallah~~

Fox 40

STADIUM Old Trafford bergegar dengan sorakan penonton tatkala bola rembatan Dimitar Berbatov diselamatkan penjaga gol Kenyir Bersatu - R. Arumugam. Alex Ferguson bangkit dari tempat duduk. Dengan lantang dia memaki hamun pengadil terkenal EPL - Mark Clattenberg.

Puluhan ribu manusia yang berbaju merah menyokongnya sambil mengacah-acah tangan dengan ganas ke arah penyokong pasukan lawan yang berbaju kuning emas.

Lelaki yang mendapat gelaran Sir daripada Ratu England itu mendakwa penjaga gol Kenyir Bersatu menampan bola di luar kota penalti sambil kakinya mencangkuk betis Dimitar Berbatov yang sudahpun berada dalam kawasan itu. Alex Ferguson mahu Red Devils diberi sepakan penalti dan R. Arumugam dikenakan kad merah. Bantahan Alex Ferguson langsung tidak diendahkan pengadil yang berdiri hanya kira-kira empat meter dari kawasan insiden dan nampak apa yang berlaku dengan jelas.

Lelaki yang terkenal sebagai pembuli pengadil itu kembali ke tempat duduk dengan muka merah padam sambil mengunyah gula-gula getah. Dia bimbang satu lagi keputusan upset berlaku dan Red Devils pasukan terbaru yang menjadi mangsa Kenyir Bersatu. Tewas kepada pasukan kerdil dari benua Asia sudah tentu akan mencalarkan reputasinya.

Perlawanan akhir bola sepak Juara Kelab Dunia Impian baru saja melewati minit ke-7. Kedudukan masih 0-0. Statistik perlawanan menunjukkan bahawa Kenyir Bersatu sedikit di depan dari segi penguasaan bola. Bersama-sama Bakri Ibni, Shukor Salleh yang berasal dari Pulau Mutiara dapat menggerakkan bahagian tengah dengan baik. Di bahagian pertahanan, berdiri dengan kukuh Soh Chin Aun dan rakan-rakannya termasuklah Santokh Singh.

Kenyir Bersatu menggunakan formasi 4-2-4. Bahagian serangan dibarisi oleh striker kembar - Abdul Ghani Minhad dan Mokhtar Dahari. Beberapa kali Mokhtar yang mendapat jolokan Supermokh dan bertubuh sasa itu berjaya memperdayakan Rio Ferdinand sebelum melepaskan rembatan padu namun Edwin Van Der Sar masih kebal di gawangnya.

Red Devils pula tidak berkurangan bisanya. Biarpun tanpa kelibat Cristiano Ronaldo yang berhijrah ke Real Madrid, pasukan itu tetap hebat. Wayne Rooney, Ryan Giggs dan Paul Scholes kerap kali mencemaskan kubu Juara Kelab Asia Impian yang berasal dari Malaysia.

Azharuddin duduk di bangku pengadil; menunggu giliran untuk mengadili perlawanan pada babak kedua. Masa masih lagi panjang namun dia sudah pun bersedia sepenuhnya.

Peraturan perlawanan akhir kejohanan itu sememangnya unik. Dua pengadil iaitu seorang dari setiap negara bagi pasukan atau kelab yang terbabit, diwajibkan bertugas. Tiada had usia. Pengadil dipilih secara merit. Hal ini cukup menguji kemantapan keadilan kedua-dua pengadil. Sentimen bangsa dan negara diketepikan.

Azharuddin akur akan perkara itu. Kini dia memerhatikan gelagat Alex Ferguson. Pengurus Manchester United itu berterusan memperlekeh Mark Clattenberg yang sedaya upaya mengawal perlawanan. Tidak berubah juga perangai lelaki itu, fikir Azharuddin.

Beberapa bulan yang lalu Alex Ferguson mencerca Alan Wiley ketika Red Devils diikat Sunderland dengan jaringan 2-2 dalam perlawanan liga EPL pada 3 Oktober lalu. Dia mendakwa pengadil EPL itu kurang cergas dan hanya berjalan pada penghujung perlawanan.

“Separuh masa kedua nanti dia akan mendapat pengajaran yang amat berguna kalau dia berterusan kurang ajar,” bisik Azharuddin kepada Daniel, 10 tahun, yang juga rakan sekelasnya di SK Tengku Ampuan Intan, sebuah sekolah pinggir bandar di Hulu Terengganu. Malam ini Daniel bertindak sebagai pembawa beg pengadil cilik dari Malaysia itu.

Mereka berada di bangku khas tidak jauh dari tempat duduk kedua-dua pasukan yang sedang beradu kehandalan. Azharuddin meneguk air galian daripada botol kecil seketika.

“Beranikah kau?" Daniel menarik zip baju sejuknya.

“Tak perlu sangsi. Kau lihat saja nanti.”

“Okey, aku setuju. Aku percaya…”

“Bagus!"

“Kau perlu tegas dan adil nanti,” kata Daniel memberi motivasi.

“Mesti! Bukan berdendam, tapi aku perlu mengubah mentaliti orang macam dia. Kita sudah terlalu lama membiarkan pengadil bola sepak dibuli dengan teruk. Sudah terlalu lama pengadil dijadikan kambing hitam. Apa-apa sahaja malang yang menimpa pasukan mereka di padang, pengadillah puncanya. Itu perlu diperbetul,” balas Azharuddin bersemangat.

“Betul tu… Dilihat dari aspek world viewnya terhadap pengadil, orang macam Fergie tak boleh dibiarkan menjadi perkasa,” kata Daniel sambil fikirannya singgah pada isu konflik Alex Ferguson dengan Persatuan Bola Sepak England.

“Itu sebabnya aku bersetuju dengan Pengerusi Persatuan Sukan dan Undang-Undang Britain - Mel Goldberg, bahawa Wiley mempunyai alasan yang kukuh untuk mengheret Fergie ke muka pengadilan atas tuduhan fitnah,” balas Azharuddin.

Bergegar

Belum sempat Daniel berkata apa-apa kepada Azharuddin, Stadium Old Trafford tiba-tiba bergegar. Patrice Evra yang berasal dari Perancis melakukan sepakan akrobatik bagi meletakkan Red Devils satu gol di depan lawannya setelah teruk menyerap asakan lawan.

Seperti selalunya, Alex Ferguson melonjak dengan tangan tergenggam bagi meraikan jaringan. Perlawanan menjadi kian berbahang. Suara teriakan dan nyanyian bersemangat para penyokong Red Devils menenggelamkan sokongan pasukan berjersi kuning emas.

Azharuddin tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Sekarang dia menjadi manusia yang berkecuali. Buat seketika ini, dia tidak boleh menyokong Kenyir Bersatu. Dia pengadil yang beretika dan tindakannya mestilah profesional dalam semua aspek sama ada sebelum, ketika, mahu pun sesudah bertugas.

Perlawanan memasuki minit ke-43. Red Devils bertahan dengan hebat. Mereka masih mampu mengekalkan kelebihan satu gol biarpun diasak bertubi-tubi oleh rangkaian serangan dan jentera midfield Kenyir Bersatu dari segenap arah.

Pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil tiga hari lalu kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol. Keputusan seri tanpa jaringan langsung tidak diduga para peminat bola sepak seluruh dunia kerana jurang antara dua pasukan itu amat luas.

Sekarang Alex Ferguson boleh bernafas buat seketika tetapi seandainya pasukan berjersi kuning emas menjaring satu gol dan perlawanan berakhir begitu, Kenyir Bersatu akan menjulang piala. Tewas dengan kiraan kelebihan jaringan di tempat lawan sudah tentu amat memeritkan mana-mana pasukan apatah lagi sebuah kelab gergasi dunia seperti Red Devils.

Fox 40 bersuara nyaring. Penyokong Red Devils bangun serentak lalu bersorak tanda kelegaan. Mereka menyambut tiupan wisel Mark Clattenberg dengan satu kepuasan; paling tidak, untuk tempoh 45 minit yang pertama. Mereka menanti baki 45 minit seterusnya.

Pemain kedua-dua pasukan meninggalkan padang menuju bilik persalinan. Mereka akan membincangkan strategi permainan separuh masa kedua.

Dari tengah padang, Mark Clattenberg diiring dua pembantu pengadil. Dia mengesat peluh di mukanya sambil membawa bola ke arah bangku pegawai perlawanan.

Azharuddin bangun ke tepi garisan padang sebagai tanda hormat kepada pengadil berpengalaman itu. Mark Clattenberg menyerahkan bola kepada Azharuddin selepas mereka bersalaman. Sambil menyerahkan wiselnya kepada Azharuddin, lelaki budiman itu berkata dalam bahasa Melayu dengan fasih dan bertatabahasa;

“Ini untuk simpanan saudara, pengadil cilik dari Malaysia.”

“Terima kasih,” kata Azharuddin, menyambut Fox 40 daripada tangan lelaki itu lalu memasukannya ke dalam saku seluarnya yang berzip kukuh.

Bersorak

Penonton kedua-dua pasukan bersorak dengan gamat.

“Di Barat, bakat seperti anda sangat dihargai. Di negara anda sendiri bagaimana?”

“Semakin dihargai…”

“Bagus! Kembangkan bakat anda. Jangan tunduk kepada tekanan. Buktikan bahawa pengadil kecil seperti anda mampu mengawal satu perlawanan berkelas dunia seperti malam ini. Jangan mengalah kepada sesiapapun. Buat keputusan atas paksi keadilan. Ingat tu,” kata Mark Clattenberg lagi sebelum berlalu ke bilik persalinan.

Waktu rehat berakhir. Semua pemain kedua-dua pasukan sudah berada di padang dan mengambil posisi masing-masing. Sorakan penonton kedua-dua belah pasukan kian gamat dan menggegarkan Stadium Old Trafford seperti sorakan di medan perang.

Azharuddin meletakkan Fox 40 ke bibirnya. Dia cukup sedar bahawa baki perlawanan cukup menguji kewibawaannya sebagai pengadil muda yang berasal dari sebuah negara Asia Tenggara. Dia akan berdepan dengan cabaran yang cukup besar tapi dia yakin melakukannya.

“Priiit!”

Bola bergolek. Kenyir Bersatu melancarkan serangan. Baki 45 minit akan menentukan nasib mereka. Abdah Aliff yang menggantikan Bakri Ibni lincah seperti lipas kudung. Bola diumpan kepada Shukor Salleh. Shukor melebarkan hantaran ke sebelah kanan. Belum sempat bola sampai ke kaki Abdullah Ali, Wayne Rooney menyambarnya lalu menyerbu ke kawasan lawan. Pergerakan mereka pantas tetapi Santokh Singh lebih awal bersedia.

Masa berlalu pantas dan perlawanan kian rancak. Red Devils memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti. Alex Ferguson menyepak botol air mineral ke dalam padang. Dia mendakwa kekasaran ke atas Dimitar Berbatov berlaku dalam kawasan penalti.

Azharuddin menoleh ke arah pengurus Red Devils. Sekali lagi, kau buat perangai, kau akan pungut kad merah, bisik hati kecilnya.

Sepakan percuma yang diambil Ryan Giggs sipi di sebelah kiri gawang lawan. Kenyir Bersatu pula melancarkan serangan. Sepakan gol oleh R. Arumugam sampai ke kaki Jamal Nasir. Bola dihantar kepada Ghani Minhad yang kemudiannya menggelecek empat pemain lawan. Di sebelah kirinya menunggu Supermokh sebaris dengan Rio Ferdinand.

Ghani menunggu Supermokh berundur sedikit. Sebaik saja rakannya beraksi seperti yang dimahukannya, Ghani menolak bola. Gerakan 1-2 berlaku. Ghani menyerbu hantaran balas Supermokh dengan satu gerakan yang memperdayakan pertahanan Red Devils itu. Bola ditolak ke sudut gawang. Penyokong kuning emas bangkit. Alex Ferguson menyerbu ke arah pengadil keempat dan membantah hingga beberapa meter ke tengah padang.

Azharuddin meletakkan wisel ke mulutnya.

“Priiit!"

Azharuddin terduduk. Suasana hingar-bingar hilang tiba-tiba. Baru dia sedar bahawa dia berada di sofa di rumahnya. Di muka pintu kelihatan ayahnya berdiri dengan lemah dalam pakaian seorang pengadil bola sepak.

“Mujur kau dengar cakap ayah dan tak ikut ke padang. Teruk ayah dan dua penjaga garisan kena kejar tadi,” kata ayahnya sambil memujuk Azharuddin yang belum kering air mata kerana merajuk tidak diajak ayahnya ke Padang Astaka Kuala Berang.

“Bergaduh lagi pasukan yang abang adili?” tanya ibu Azharuddin dari dapur.

“Ya! Perlawanan di padang yang satu lagi pun macam tu”

“Berhentilah menjadi pengadil bola sepak kalau macam tu, bang!”

“Jangan! Saya bercakap dengan Mark Clattenberg tadi. Dia kata, pengadil kena tabah. Tak boleh tunduk kepada tekanan,” kata Azharuddin sambil teringat pesanan lelaki Inggeris kepadanya dalam mimpinya sebentar tadi.

“Mark Clattenberg?” Ayah Azharuddin hairan. Dia ingat-ingat lupa siapa lelaki itu.

“Ya, kami bercakap di Old Trafford tadi. Ini wisel yang dia beri kepada saya,” balas kanak-kanak itu sambil menunjukkan wisel Fox 40 kepada ibunya.

Ibu dan ayah Azharuddin terpinga-pinga

Cerpen Fox 40 nukilan Alias Ismail ini disiarkan di Utusan Malaysia pada 10 Januari 2010 yang lalu.