Alhamdulillah, Terima kasih~


Alhamdulillah. Karya amatur, Sebening Fajar Lanau mendapat tempat kedua dalam pertandingan cerpen Islamic Media Award Competition 2009. Majlis penyampaian hadiah berlangsung di Hotel Putra Kuala Lumpur petang kelmarin (petang sabtu). Walaupun pada mulanya agak keberatan untuk ke sana, tapi atas beberapa nasihat, aku nekad mencari tiket ke Kuala Lumpur pada pagi sabtu tu. Alhamdulillah, ngam ngam sampai pukul 2 petang, awal setengah jam sebelum majlis berlangsung.


Sebenarnya, majlis itu merupakan majlis Hi Tea media bersama organisasi penganjur terbabit. Agak ramai jugak wakil media datang termasuklah wakil dari Utusan Malaysia, The Star, Harakah, malaysiakini, IKIM, Sinar harian, nasyid.com, karangkraf dan beberapa wakil media lain yang agak kurang popular. Difahamkan penganjur juga menjemput TV3 dan RTM, tapi tak datang.

Keseorangan membawa diri di Kuala Lumpur, aku pada mulanya agak kekok bila masuk dalam majlis tu. Apatah lagi 98% daripada hadirin merupakan ahli organisasi penganjur terbabit. Tapi, taknak la jadi kera sumbang kan. Pergi la jugak tegur diorang, dan sememangnya mereka sangat-sangat peramah. Depa layan macam da lama dah kenal. Heheh. Dari orang besar sampai la ke ahli biasa, semua bersilih-ganti bertaaruf dengan aku. Upacara penyampaian hadiah berlangsung lancar, dan hadiah disampaikan oleh presiden organisasi terbabit. Bagus orangnya. Really like the way he gave his speech.
.


Emm. Karya aku dapat nombor 2, tewas di tangan karya bertajuk Untukmu yang sudah bertahun-tahun meletup di website iLuvIslam.com. Tahniah umairzulkefli (gambar) atas kemenangan anda. Rasa puas hati jugak kalah di tangan penulis yang bukan sembarangan orang. Beliau merupakan penulis jemputan iluvislam.com. Patut la macam familiar je namanya. Karya Untukmu tu pun, aku dah baca dah 2 tahun lepas kot, kalau tak silap.


Sebenarnya, aku tak berapa konfiden sangat dengan Sebening Fajar Lanau ni. Dalam entry form tertulis max word not more than 2000 words. Layan punye layan menulis cerita, last last sampai 2500+. So, untuk melayakkan penyertaan, terpaksa ubah sikit gaya penceritaan yang memerlukan pembaca berfikir sikit tentang flow cerita tu. Hasilnya, mood penceritaan sedikit berubah , sebab tu aku tak berapa konfiden sangat. Yang dipost kat bawah tu karya yang sebelum diedit. Nanti aku post karya yang dihantar ke IMAC tu. Hehe.


Okeh, untuk sesi penghargaan, saya di sini ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembikinan cerita ni. Antara yang terlibat termasuklah :


MMR:
Tq bagitau pasal pertandingan ni. Ingat nak masuk semua pertandingan (multimedia,photoshop n cerpen) tapi tak sempat.

MI, SH:
Terima kasih atas kesudian berkongsi cerita tentang pengalaman kita di Pos Pantos aritu. Really appreciate that.

AK:
Thanks kerana sudi jadi pembaca untuk process clinical trial cerita ni. Haha. Saja nak test leh paham ke tak cerita ni kalau disusun sedemikian rupa.

‘cikgu’ :
A very big thank to u for everything. Tanpa kamu, karya ini tak ke mana. Hehe. Saya budak baru belajar. Terima kasih atas setiap tunjuk ajar yang diberikan =)
........
Juga untuk semua yang sudi membaca.
Jazakumullahu khairan kathiira fiddunia wal akhirah

Madah bukan untuk bermegah,
Jauh sekali dambakan hadiah,
Indah bingkisan pencetus islah,
Buat tatapan sahabat bertuah.
.
Wassalam~

Sebening Fajar Lanau


Sebening Fajar Lanau

.......Ikhwan mendongak melihat langit gelap yang ditaburi bintang beraneka citra. Cecair jernih yang lama bertakung meleleh jatuh dari tubir matanya yang lesu tatkala mengenangkan belenggu yang merantai nasib tanah tumpah darahnya itu. Disekanya perlahan-lahan air itu. Dadanya bergerak turun naik. Anak muda ini baru mencecah 22 tahun, namun takdir memilihnya untuk menghadapi ujian seberat ini. Dia menyandarkan badannya pada pohon tua di belakangnya yang masih gagah berdiri saban hari di hadapan musolla usang itu.

.......Garis-garis samar cahaya bulan yang menyorot masuk melalui celah-celah bukaan daun tingkap bangunan jingga itu menyuramkan hatinya. Ikhwan merenung jauh ke dalam ruang bangunan itu. Matanya dibidikkan tepat ke arah tongkat panjang diselaputi sawang yang diam bersandar pada sudut ruang beralaskan karpet hijau itu. Renungan itu mengheret fikirannya jauh menjejaki ruang masa lalu yang dilimpahi keberkatan. Jelas tergambar di depan mata hatinya tika saf-saf musolla ini dipenuhi dengan barisan hamba, sujud pada Penciptanya. Terbayang suatu tika dahulu, tongkat itu digenggam erat Ustaz Khalid tatkala khutbah taaruf Islam diterangkan satu persatu, semudah mungkin. Penduduk Pos Lanau mendengar penuh minat, penuh semangat, bagai anak-anak kecil. Ada yang terlopong penuh kagum, ada yang menggaru kepala, ada yang tersenyum sendirian. Sungguh makmur dan aman sekali musolla itu. Sejuk di mata, tenang di hati. Tempat yang menjadi saksi hampir 80 orang penduduk kampung ini menerima agama fitrahnya setelah bertahun lama hanyut tiada panduan.

.........Lamunannya dikejutkan dengan suara hilaian monyet nun jauh di perut rimba. Musolla itu kembali kelam. Kelam seperti kelmarin dan hari-hari sebelumnya.

.......Pagi itu bermula ceria dengan kicau merdu unggas hutan. Mentari mula menampakkan sinarnya di celah kehijauan rimbunan pagar rimba. Jauh dari hiruk-pikuk kota. Penduduk orang asli Pos Lanau seperti biasa setia dengan rutin harian mereka bercucuk tanam di kebun masing-masing. Hanya sekangkang kera luasnya. Angin lembut menyapa setiap titik keringat sulung mereka, segar dan mendamaikan. Tatkala pemimpin-pemimpin sibuk bermain politik, mereka gigih mencari sesuap nasi. Dan di kala sesetengah orang agama sibuk bertelingkah dek perselisihan khilaf dan pendapat, insan-insan bernama mu’allaf ini pula begitu mendambakan ilmu-ilmu mereka, dahagakan bimbangan seorang muallim yang bisa memimpin tangan mereka menuju ke arah kehidupan yang sebenar.

........Sejak pemergian Ustaz Khalid tiga tahun yang lalu, penduduk kampung ini mula kembali terkapai-kapai dalam arus kejahilan duniawi. Bagaikan bahtera tanpa kemudi, mereka berpaling semula kepada kehidupan lama yang menyimpang jauh daripada agama fitrah mereka. Mereka seakan lupa bahawa mereka kini beragama Islam. Mereka lupa akan Al-Quran dan As-Sunnah. Segala ajaran Ustaz Khalid bagaikan hilang dibawa pergi bersamanya, lenyap dari benak dan hati mereka. Tinggallah Ikhwan keseorangan menegakkan Islam di tanah kecil ini. Dia tidak punya siapa. Ibubapanya sudah lama meninggal dunia tanpa sinaran aqidah.. Ikhwan melafazkan syahadah bersama-sama penduduk yang lain dalam sebuah program anjuran Jabatan Agama Islam Negeri.

.......“Sekarang, Ikhwan pilih mana satu. Akak takkan berganjak dari pendirian akak!” Gertak Kak Dian lantas memalingkan mukanya membelakangi adik tunggalnya itu. Dia mendengus kuat. Dia begitu berang dengan permintaan adik tunggalnya itu untuk memeluk Islam. Namun, Ikhwan tetap dengan pilihannya.

“Kalau nak sangat masuk Islam, kau jangan tegur akak lagi!”

.......Ayat itu acap kali terngiang-ngiang di ruang telinganya, seakan diulang-ulang oleh pita rakaman. Dia kini hidup sebatang kara di rumah peninggalan ibu bapanya. Tatkala dia termanggu sendirian di rumah usang itu, beberapa biji batu kecil singgah di kakinya. Ashirin, Iqbal dan Zabidin gelak sakan. Tiga sekawan ini sememangnya terkenal dengan kenakalan mereka. Dia sering menjadi mangsa mereka. Terkadang panggilan gila singgah di telinganya. Sikapnya yang sering menyendiri dijadikan bahan ketawa kanak-kanak itu.

.......“Gila! Duduk sorang tak ada kawan !” pekik Ashirin disambut dengan hilai tawa dua rakan sepermainannya itu. Dia merupakan anak ketua kampung, Pak Sahak yang paling berada di kalangan penduduk di situ. Pak Sahak mempunyai dua bidang ladang getah yang berekar-ekar luasnya. Namun, dia terkenal dengan tabiatnya yang suka bermain judi. Ikhwan telah beberapa kali cuba menasihati, namun herdikan hina pula buahnya.

“Kau masuk Islam sama dengan aku, sama dengan orang lain. Tak payah nak tunjuk pandai kat sini. Aku tau apa aku buat. Mak bapak tak ada, kakak pula tak mengaku adik ! “

.......Maki hamun, caci hina sudah terlalu biasa singgah di telinga Ikhwan. Kadangkala, dia terasa terpulau oleh penduduk kampungnya sendiri. Rakan-rakan seusia dengannya sering mengelak bertemu dengannya. Mungkin muak ditegur, jemu dan jelak diberitahu apa yang betul. Masakan tidak, arak, judi dan pergaulan bebas semakin membarah di kampung itu. Kehadiran seorang benggali sebagai pembekal arak belakangan ini memburukkan keadaan. Bertopengkan penjual pakaian, lelaki berjanggut lebat itu menangguk di air keruh, mengambil untung dek kejahilan penduduk kampung ini. Kehadirannya dialu-alukan dan wang hasil tanaman yang sepatutnya dibelanjakan untuk keluarga seringkali dibazirkan untuk air syaitan itu. Arak itu menjadi juadah untuk aktiviti judi yang rancak berlangsung setiap malam di wakaf utama kampung itu. Kerapkali Ikhwan menegur, tapi semuanya bagi mencurah air ke daun keladi. Malah dia dimaki sekesat-kesatnya.

.......Fikiran Ikhwan disapa sirah nabi junjungan yang dibacakan Ustaz Rosdi jumaat lepas. Rasulullah dibaling batu ketika berdakwah di Thaif, diancam bunuh, dituduh ahli sihir dan bermacam lagi.

“Ah, apalah sangat dugaanku ini,” getus hatinya.

.......Setiap jumaat, Ikhwan akan merendah belantara berjalan berkilometer-kilometer jaraknya ke Masjid At-Taqwa yang terletak di Pekan Selampit untuk solat jumaat. Tiada jemaah solat didirikan di tempatnya. Biasanya, dia akan pulang selepas solat asar kerana mengikuti kuliah jumaat yang disampaikan Ustaz Rosdi usai solat jumaat. Banyak ilmu agama yang dipelajarinya dalam kuliah itu. Tinggi harapannya untuk menerbitkan kembali sinar aqidah di kampung yang amat disayanginya itu Namun, usahanya hingga kini masih gagal membuahkan hasil. Hati mereka sekeras batu, sekelam malam.

*....... *....... *

.......Ikhwan menghadapkan mukanya ke langit. Terpampang panorama yang sangat indah ciptaan yang Maha Kuasa. Sekumpulan unggas terbang berkumpulan. Burung ketitir. Si ketua beralih ke belakang, memberi laluan sahabat di sisi mengambil tempat mengemudi kawanan berbentuk segitiga itu. Barangkali kawanan ini terbang pulang setelah mencari rezeki untuk zuriat mereka di bumi Tuhan ini. Gugusan awan yang berarak dari tenggara menyuramkan suasana, beransur mendung membawa petanda bahawa sebentar lagi bumi bakal disirami hujan. Namun, Ikhwan tidak bercadang untuk berganjak walau sedikitpun, masih lagi berteleku di bawah sepohon medang yang rendang.

.......Dia meraba-raba poket kanan seluar denimnya yang lusuh itu. Kertas itu masih di situ, terjemah akalnya setelah perut jarinya menekan-nekan poketnya itu. Terdetik hatinya mahu menatap warkah tersebut, untuk ke seratus kali barangkali. Lantas tangannya spontan mengeluarkan kertas itu. Kesan lipatan hampir merosakkan helaian diari yang sudah kekuningan itu.

.......“Grooom!! Ngauman guruh di langit memecah keheningan. Ikhwan tersentak. Hujan sudah mula menyirami permukaan bumi. Dia meninjau sekeliling, mencari kawasan untuk berteduh.

.......Tiba tiba, matanya tertancap ke arah sebuah pondok buruk berdekatan jeti usang berakit buluh, tidak jauh dari situ. Dia berlari-lari anak ke arah pondok itu, dengan badan sedikit dibongkokkan agar warkah dalam genggamannya tidak dibasahi titisan hujan yang kian hebat membasahi bumi. Setibanya di pondok itu, dia mengelap manik-manik peluhnya yang sudah bercampur dengan titisan hujan. Nafas dihela sedalam mungkin. Terasa seakan-akan satu beban diluahkan bersama hembusan nafasnya.

.......Pandangannya dijatuhkan ke tengah sungai yang sedang bergelora. Ditatapnya arus deras yang bekejar-kejaran itu. Tiba-tiba sahaja di hatinya timbul satu perasaan kurang senang. Ada sesuatu yang mengganggu. Hatinya kuat mengatakan bahawa sesuatu yang buruk berlaku. Bola matanya menggelintar segenap susuk sungai itu. Satu kelibat yang aneh menjelma di ruang penglihatan. Imbas kelibat aneh itu meragukan hati Ikhwan, tetapi amat diyakini matanya. Sepasang tangan kecil tenggelam timbul di tengah-tengah amukan Sungai Jepah itu. Dia terlopong. Dikecilkan bukaan sudut mata supaya menumpu pada susuk tersebut, seorang budak. Budak yang amat dikenalinya. Kotak fikirannya ligat menterjemah gambaran yang dilihat.

Ashirin!

.......Kakinya dihayun selaju mungkin ke tebing sungai. Setibanya di situ, ditunjalnya tepian tebing sekuat hati, melayangkan badannya menerobos perut sungai yang sedang mengganas itu. Kudrat tenaganya tidak cukup kuat untuk melawan hukum alam. Air kepala sungai yang lazimnya datang secara tiba-tiba dari kawasan hulu, sememangnya menggerunkan sesiapa sahaja. Hujan lebat di hulu sungai di luar pengetahuan mereka membawa gerombolan arus yang maha dahsyat ke sungai yang membelah kampung itu.

.......Ikhwan mengerah kudratnya semaksimum mungkin, melawan arus. Tangan kirinya mampu mencapai bahu kecil Ashirin, namun tidak berupaya untuk menariknya. Lidahnya sedari tadi menyebut kalimah Allah, Allah, Allah. Kepalanya dihentak-hentak batang-batang kayu yang hanyut dibawa arus. Darah merah mengalir laju di dahinya. Namun, kesakitan itu sedikitpun tidak dirasainya. Dicubanya berkali-kali dan dengan kuasaNya, dia berjaya menarik anak tersebut ke tepian. Kalimah Alhamdulillah terlahir tatkala melihat budak itu merangkak naik ke tebing.

.......Tangan Ikhwan masih gagah menggenggam banir pohon di tepi sungai itu, menunggu giliran untuk naik ke tebing. Tiba-tiba, segerombolan arus gergasi menerjahnya dari belakang. Dalam sekelip mata sahaja susuk tubuh Ikhwan hilang daripada pandangan Ashirin yang sedang menggigil ketakutan di atas tebing. Ya Allah. Hanya ungkapan ini sahaja yang kedengaran lalu suara itu tenggelam hanyut bersama deru arus sungai.

*....... *....... *
.......Sekujur badan terbaring kaku di ruang tengah rumah usang itu. Riak wajah yang tenang dan mendamaikan. Kak Dian bersandar di suatu sudut, menangis teresak-esak. Dua anak kecilnya merengek di tepinya, tidak memahami apa yang terjadi. Tidak faham erti kematian, jauh lagi untuk memahami kehilangan sebutir permata dakwah yang selama ini menyinari kampung yang semakin gelap dengan suram jahiliah.

.......Di suatu sudut lagi, sekumpulan lelaki berbincang mengenai sesuatu. Semuanya tertumpu pada sekeping kertas yang dipegang Pak Sahak. Matanya membengkak. Keletihan dan penuh penyesalan. Letih kerana semalaman tidak tidur mengikuti operasi mencari mayat Ikhwan setelah diberitahu anaknya. Sesal kerana tidak menyangka bahawa orang yang diherdik, dicaci dan dihinanya selama ini sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan anak tunggalnya itu. Hatinya begitu tersentuh melihat mayat Ikhwan yang masih sempurna dan tidak kembung walaupun semalaman dihanyutkan arus. Inilah tanda kekuasaan Allah yang Maha Penyayang, melindungi hambaNya yang selama ini berkorban jiwa dan raga menegakkan agamaNya di bumi Lanau ini.

.......Matanya yang membengkak cuba menatap warkah yang diambil dari poket seluar Ikhwan ketika mayatnya ditemui awal pagi tadi. Beberapa penduduk berbincang sesama sendiri. Mujurlah dakwat yang sudah mengembang itu masih jelas tulisannya.

.......“Assalamualaikum…

.......Kepada sesiapa yang menemui warkah wasiat ini, tolonglah sempurnakannya. Andai
aku sudah pergi mengadap Ilahi, uruskanlah jasadku mengikut syariat Islam. Mandikanlah daku, kapankanlah diriku, sembahyangkanlah jenazahku, dan tanamkanlah jasadku mengikut cara Islam. Aku sentiasa mendoakan agar kampung kita ini akan kembali disinari aqidah Islamiah. Segala salah kalian kepadaku sudah kumaafkan. Semoga kalian semua sentiasa berada dalam lindungan rahmatNya.

Ikhwan


.......Air mata Pak Sahak mengalir. Kata-kata itu benar-benar menusuk sanubarinya. Sebagai pemimpin kampung itu, dia bertanggungjawab atas segala kerosakan yang berlaku. Dia tersandar ke tiang utama rumah tersebut. Kertas itu masih dalam genggamannya. Setelah diseka titis jernih yang menitis di pipi, dia mengensot ke arah Kak Dian yang masih berduka di penjuru rumah. Selepas berbisik beberapa ketika, dia bingkas mengatur langkah ke sebuah bilik betul-betul di depan ruang utama.

.......Sebaik pintu kayu itu dikuak, bebola matanya meliar meneroka segenap penjuru kamar kecil itu. Kelihatan beberapa kalimah zikrullah yang tertampal di dinding. Langkah disusun perlahan menuju ke sebuah meja kecil yang sedikit berselerak. Beberapa buah buku agama tersusun rapi di birai meja buruk itu. Matanya tertarik pada sebuah buku bertajuk ‘Pengurusan Jenazah Dalam Islam’. Diangkatnya buku itu perlahan-lahan lantas memperlihatkan sebuah diari kecil di bawahnya. Naluri ingin tahu mendesaknya membelek diari kecil itu dalam tempo yang agak gopoh. Tidak semena-mena air mata sesalnya menitis lagi.

.......Segala yang dilalui Ikhwan tertulis di dalam diari berwarna kuning itu. Segala herdikan, cacian mahupun perancangan dakwahnya dicatat rapi. Mata Pak Sahak terpaku pada satu halaman.


.......19 April 2005

.......Aku dihina lagi oleh Pak Sahak. Usahaku masih tidak berhasil. Bukakanlah pintu hatinya Ya Allah. Hentikanlah amalan judinya itu. Macam mana kampung ni nak berubah kalau pemimpinnya masih hanyut dengan dosanya. Dia sedikitpun tidak rasa bersalah Ya Allah, malah dibangga-banggakannya pula. Berikanlah cahaya hidayah untuknya Ya Allah, dan juga untuk sekalian penduduk kampung ini.

.......
Air mata Pak Sahak makin melaju. Tangannya semakin longlai membelek diari itu. Sekali lagi tangannya terhenti pada tempat yang terkoyak satu halaman. Dibacanya catatan yang tertulis di sebelah halaman yang hilang itu.

.......Panasnya cuaca hari ini. Alhamdulillah, sempat juga aku solat jumaat di Masjid At-Taqwa. Hari ini Ustaz Rosdi berbicara tentang pengurusan jenazah. Ya Allah, apa yang akan terjadi pada diriku setelah aku mati nanti. Siapa yang akan uruskan jenazahku. Penduduk kampungku yang makin menyimpang jauh tidak mungkin boleh uruskan jenazahku secara Islam. Sembahyang fardu pun sudah lupa cara mengerjakannya, mana mungkin mereka tahu cara menguruskan jenazah.

.......Helaian seterusnya hilang, seakan dikoyak. Pak Sahak berteka-teki di dalam kepala. Dia memandang pada helaian wasiat Ikhwan yang renyuk dalam genggamannya. Dipadankan kertas itu pada kesan koyakan halaman diari tersebut. Ya. Inilah halaman yang hilang itu. Helai kertas yang sentiasa dibawa ke mana-mana oleh Ikhwan. Warkah yang tersemat setia di poket seluarnya sejak berbulan lalu, sebagai persediaan menghadapi mati, agar hidupnya berakhir secara Islam, sepertimana muslimin yang lain.

.......Pak Sahak tersentak dengan bunyi keriut lantai buluh di belakangnya. Kak Dian yang tercegat lemah kemudian mendepani Pak Sahak. Diari kecil itu berpindah tangan. Kak Dian membelek. Luruh hatinya melihat setiap halaman diari itu tertulis suatu ayat di bawahnya. Ayat-ayat sama yang diulang-ulang dalam pelbagai bentuk tulisan.

.......“Ya Allah. Berikanlah hidayah buat Kak Dian. Bukakanlah pintu hatinya untuk menerima agamaMu Ya Allah. Aku tidak sanggup melihat dirinya mati kekufuran menempah nerakaMu Ya Allah. Ikhwan sayang akak. Ikhwan sayang akak sangat-sangat”.

* .......* .......*

.......Tiga buah beg besar tersedia di birai tangga. Bilal Zain melaungkan azan. Beberapa orang penduduk kampung berkumpul di hadapan rumah ketua kampung itu. Haji Sahak tunduk tenang. Ya, beliau sudah bergelar haji dua tahun yang lalu. Kini beliau melakukannya sekali lagi, bukan untuk dirinya. Kali ini untuk Muhammad Ikhwan bin Abdullah, permata dakwah yang sudah pergi mengadapNya empat tahun yang lalu. Haji Sahak bertekad untuk melakukan haji buat Ikhwan setelah menyedari hajat arwah yang tidak kesampaian itu, tertulis di dalam diarinya. Melalui Program Haji untuk Orang Asli, status penduduk asli melayakkan Haji Sahak tidak perlu menunggu giliran untuk menunaikan haji.

.......Kak Dian turut berada di situ. Sesekali mengerling jam tangannya. Menyedari jam 12 makin menghampiri, dia mengatur derap langkahnya deras menuju ke arah sebuah bangunan jingga tidak jauh dari rumah Haji Sahak. Setibanya di situ, kedengaran suara kanak-kanak membaca doa beramai-ramai. Sebaik sahaja pintu dibuka cikgunya, kelihatan kanak-kanak tadi berlari kegirangan berlumba pulang ke rumah. Kak Dian tersentak dengan terpaan anak sulungnya itu. Kedua-dua mereka mengukir senyuman lalu dipimpin anak kesayangannya itu pulang. Langkah Kak Dian terhenti seketika. Matanya tersenyum melihat papan tanda di depan bangunan itu.

“MADRASAH NUR IKHWAN”


* .......* .......*




10.57 malam
Isnin, 13 Julai 2009

Karya amatur nukilan:
Mohd Syafiq Bin Yusof


Untuk:
Islamic Media Award Competition 2009



Jazakumullahu khairan kathiira..=)

Bela Tarantula ke?


“Sebulan beb bersarang labah2 kat situ, siap spesis tarantula lagik..hanoi ke mana..ha long bay ke mana..”

Petikan sinis daripada komen si kunangsepi (Hendy Putra) dalam Facebook setelah berminggu lamanya dihidang omongan retorik aku untuk mengupdate ceritera sang kuchalana. Haha. Bulan June berakhir tanpa sebarang entry,bukan bermaksud sepi tanpa aktiviti. Nah, berderet tentatif hidupku bulan lepas.

2 - 7 June = Jelajah Ho Chi Minh, Vietnam
8 June = Pharmaceutical Care Workshop di IIUM Kuantan
9 – 13 June = Jelajah Melaka & Kuala Lumpur
14 – 21 June = Community Posting di Lim Medical Supplies
22- 26 June = Pharmacist & Tobacco Control Training di Pusat Racun Negara
26 – 1 July = Asia Pacific Pharmaceutical Symposium 2009 di Penang
2 July = Jelajah Penang
4 – 5 July = H1N1 : Isolation Ward, Hospital Sultanah Nur Zahirah
6 – 11 July = H1N1 : Home Quarantine

InsyaAllah, jika diizinkanNya, lepas ni akan diupdate ceritera sang kuchalana dari semasa ke semasa. Nantikan karya sulung daripada saya sepanjang berada di IIUM Kuantan setelah sekian lama tidak menulis cerpen. Karya amatur berjudul Sebening Fajar Lanau ditulis berdasarkan cerita dan pengalaman penduduk orang asli Pos Pantos yang diceritakan kepada saya ketika menjalankan Modul Dakwah bersama-sama mereka di COHSAS Mei lalu. Apa yang disampaikan, saya untaikan menjadi sebuah cereka yang diharap dapat memberikan pengiktibaran sedikit sebanyak kepada kita semua. Selamat membaca. Terima kasih~