Fox 40

STADIUM Old Trafford bergegar dengan sorakan penonton tatkala bola rembatan Dimitar Berbatov diselamatkan penjaga gol Kenyir Bersatu - R. Arumugam. Alex Ferguson bangkit dari tempat duduk. Dengan lantang dia memaki hamun pengadil terkenal EPL - Mark Clattenberg.

Puluhan ribu manusia yang berbaju merah menyokongnya sambil mengacah-acah tangan dengan ganas ke arah penyokong pasukan lawan yang berbaju kuning emas.

Lelaki yang mendapat gelaran Sir daripada Ratu England itu mendakwa penjaga gol Kenyir Bersatu menampan bola di luar kota penalti sambil kakinya mencangkuk betis Dimitar Berbatov yang sudahpun berada dalam kawasan itu. Alex Ferguson mahu Red Devils diberi sepakan penalti dan R. Arumugam dikenakan kad merah. Bantahan Alex Ferguson langsung tidak diendahkan pengadil yang berdiri hanya kira-kira empat meter dari kawasan insiden dan nampak apa yang berlaku dengan jelas.

Lelaki yang terkenal sebagai pembuli pengadil itu kembali ke tempat duduk dengan muka merah padam sambil mengunyah gula-gula getah. Dia bimbang satu lagi keputusan upset berlaku dan Red Devils pasukan terbaru yang menjadi mangsa Kenyir Bersatu. Tewas kepada pasukan kerdil dari benua Asia sudah tentu akan mencalarkan reputasinya.

Perlawanan akhir bola sepak Juara Kelab Dunia Impian baru saja melewati minit ke-7. Kedudukan masih 0-0. Statistik perlawanan menunjukkan bahawa Kenyir Bersatu sedikit di depan dari segi penguasaan bola. Bersama-sama Bakri Ibni, Shukor Salleh yang berasal dari Pulau Mutiara dapat menggerakkan bahagian tengah dengan baik. Di bahagian pertahanan, berdiri dengan kukuh Soh Chin Aun dan rakan-rakannya termasuklah Santokh Singh.

Kenyir Bersatu menggunakan formasi 4-2-4. Bahagian serangan dibarisi oleh striker kembar - Abdul Ghani Minhad dan Mokhtar Dahari. Beberapa kali Mokhtar yang mendapat jolokan Supermokh dan bertubuh sasa itu berjaya memperdayakan Rio Ferdinand sebelum melepaskan rembatan padu namun Edwin Van Der Sar masih kebal di gawangnya.

Red Devils pula tidak berkurangan bisanya. Biarpun tanpa kelibat Cristiano Ronaldo yang berhijrah ke Real Madrid, pasukan itu tetap hebat. Wayne Rooney, Ryan Giggs dan Paul Scholes kerap kali mencemaskan kubu Juara Kelab Asia Impian yang berasal dari Malaysia.

Azharuddin duduk di bangku pengadil; menunggu giliran untuk mengadili perlawanan pada babak kedua. Masa masih lagi panjang namun dia sudah pun bersedia sepenuhnya.

Peraturan perlawanan akhir kejohanan itu sememangnya unik. Dua pengadil iaitu seorang dari setiap negara bagi pasukan atau kelab yang terbabit, diwajibkan bertugas. Tiada had usia. Pengadil dipilih secara merit. Hal ini cukup menguji kemantapan keadilan kedua-dua pengadil. Sentimen bangsa dan negara diketepikan.

Azharuddin akur akan perkara itu. Kini dia memerhatikan gelagat Alex Ferguson. Pengurus Manchester United itu berterusan memperlekeh Mark Clattenberg yang sedaya upaya mengawal perlawanan. Tidak berubah juga perangai lelaki itu, fikir Azharuddin.

Beberapa bulan yang lalu Alex Ferguson mencerca Alan Wiley ketika Red Devils diikat Sunderland dengan jaringan 2-2 dalam perlawanan liga EPL pada 3 Oktober lalu. Dia mendakwa pengadil EPL itu kurang cergas dan hanya berjalan pada penghujung perlawanan.

“Separuh masa kedua nanti dia akan mendapat pengajaran yang amat berguna kalau dia berterusan kurang ajar,” bisik Azharuddin kepada Daniel, 10 tahun, yang juga rakan sekelasnya di SK Tengku Ampuan Intan, sebuah sekolah pinggir bandar di Hulu Terengganu. Malam ini Daniel bertindak sebagai pembawa beg pengadil cilik dari Malaysia itu.

Mereka berada di bangku khas tidak jauh dari tempat duduk kedua-dua pasukan yang sedang beradu kehandalan. Azharuddin meneguk air galian daripada botol kecil seketika.

“Beranikah kau?" Daniel menarik zip baju sejuknya.

“Tak perlu sangsi. Kau lihat saja nanti.”

“Okey, aku setuju. Aku percaya…”

“Bagus!"

“Kau perlu tegas dan adil nanti,” kata Daniel memberi motivasi.

“Mesti! Bukan berdendam, tapi aku perlu mengubah mentaliti orang macam dia. Kita sudah terlalu lama membiarkan pengadil bola sepak dibuli dengan teruk. Sudah terlalu lama pengadil dijadikan kambing hitam. Apa-apa sahaja malang yang menimpa pasukan mereka di padang, pengadillah puncanya. Itu perlu diperbetul,” balas Azharuddin bersemangat.

“Betul tu… Dilihat dari aspek world viewnya terhadap pengadil, orang macam Fergie tak boleh dibiarkan menjadi perkasa,” kata Daniel sambil fikirannya singgah pada isu konflik Alex Ferguson dengan Persatuan Bola Sepak England.

“Itu sebabnya aku bersetuju dengan Pengerusi Persatuan Sukan dan Undang-Undang Britain - Mel Goldberg, bahawa Wiley mempunyai alasan yang kukuh untuk mengheret Fergie ke muka pengadilan atas tuduhan fitnah,” balas Azharuddin.

Bergegar

Belum sempat Daniel berkata apa-apa kepada Azharuddin, Stadium Old Trafford tiba-tiba bergegar. Patrice Evra yang berasal dari Perancis melakukan sepakan akrobatik bagi meletakkan Red Devils satu gol di depan lawannya setelah teruk menyerap asakan lawan.

Seperti selalunya, Alex Ferguson melonjak dengan tangan tergenggam bagi meraikan jaringan. Perlawanan menjadi kian berbahang. Suara teriakan dan nyanyian bersemangat para penyokong Red Devils menenggelamkan sokongan pasukan berjersi kuning emas.

Azharuddin tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Sekarang dia menjadi manusia yang berkecuali. Buat seketika ini, dia tidak boleh menyokong Kenyir Bersatu. Dia pengadil yang beretika dan tindakannya mestilah profesional dalam semua aspek sama ada sebelum, ketika, mahu pun sesudah bertugas.

Perlawanan memasuki minit ke-43. Red Devils bertahan dengan hebat. Mereka masih mampu mengekalkan kelebihan satu gol biarpun diasak bertubi-tubi oleh rangkaian serangan dan jentera midfield Kenyir Bersatu dari segenap arah.

Pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil tiga hari lalu kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol. Keputusan seri tanpa jaringan langsung tidak diduga para peminat bola sepak seluruh dunia kerana jurang antara dua pasukan itu amat luas.

Sekarang Alex Ferguson boleh bernafas buat seketika tetapi seandainya pasukan berjersi kuning emas menjaring satu gol dan perlawanan berakhir begitu, Kenyir Bersatu akan menjulang piala. Tewas dengan kiraan kelebihan jaringan di tempat lawan sudah tentu amat memeritkan mana-mana pasukan apatah lagi sebuah kelab gergasi dunia seperti Red Devils.

Fox 40 bersuara nyaring. Penyokong Red Devils bangun serentak lalu bersorak tanda kelegaan. Mereka menyambut tiupan wisel Mark Clattenberg dengan satu kepuasan; paling tidak, untuk tempoh 45 minit yang pertama. Mereka menanti baki 45 minit seterusnya.

Pemain kedua-dua pasukan meninggalkan padang menuju bilik persalinan. Mereka akan membincangkan strategi permainan separuh masa kedua.

Dari tengah padang, Mark Clattenberg diiring dua pembantu pengadil. Dia mengesat peluh di mukanya sambil membawa bola ke arah bangku pegawai perlawanan.

Azharuddin bangun ke tepi garisan padang sebagai tanda hormat kepada pengadil berpengalaman itu. Mark Clattenberg menyerahkan bola kepada Azharuddin selepas mereka bersalaman. Sambil menyerahkan wiselnya kepada Azharuddin, lelaki budiman itu berkata dalam bahasa Melayu dengan fasih dan bertatabahasa;

“Ini untuk simpanan saudara, pengadil cilik dari Malaysia.”

“Terima kasih,” kata Azharuddin, menyambut Fox 40 daripada tangan lelaki itu lalu memasukannya ke dalam saku seluarnya yang berzip kukuh.

Bersorak

Penonton kedua-dua pasukan bersorak dengan gamat.

“Di Barat, bakat seperti anda sangat dihargai. Di negara anda sendiri bagaimana?”

“Semakin dihargai…”

“Bagus! Kembangkan bakat anda. Jangan tunduk kepada tekanan. Buktikan bahawa pengadil kecil seperti anda mampu mengawal satu perlawanan berkelas dunia seperti malam ini. Jangan mengalah kepada sesiapapun. Buat keputusan atas paksi keadilan. Ingat tu,” kata Mark Clattenberg lagi sebelum berlalu ke bilik persalinan.

Waktu rehat berakhir. Semua pemain kedua-dua pasukan sudah berada di padang dan mengambil posisi masing-masing. Sorakan penonton kedua-dua belah pasukan kian gamat dan menggegarkan Stadium Old Trafford seperti sorakan di medan perang.

Azharuddin meletakkan Fox 40 ke bibirnya. Dia cukup sedar bahawa baki perlawanan cukup menguji kewibawaannya sebagai pengadil muda yang berasal dari sebuah negara Asia Tenggara. Dia akan berdepan dengan cabaran yang cukup besar tapi dia yakin melakukannya.

“Priiit!”

Bola bergolek. Kenyir Bersatu melancarkan serangan. Baki 45 minit akan menentukan nasib mereka. Abdah Aliff yang menggantikan Bakri Ibni lincah seperti lipas kudung. Bola diumpan kepada Shukor Salleh. Shukor melebarkan hantaran ke sebelah kanan. Belum sempat bola sampai ke kaki Abdullah Ali, Wayne Rooney menyambarnya lalu menyerbu ke kawasan lawan. Pergerakan mereka pantas tetapi Santokh Singh lebih awal bersedia.

Masa berlalu pantas dan perlawanan kian rancak. Red Devils memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti. Alex Ferguson menyepak botol air mineral ke dalam padang. Dia mendakwa kekasaran ke atas Dimitar Berbatov berlaku dalam kawasan penalti.

Azharuddin menoleh ke arah pengurus Red Devils. Sekali lagi, kau buat perangai, kau akan pungut kad merah, bisik hati kecilnya.

Sepakan percuma yang diambil Ryan Giggs sipi di sebelah kiri gawang lawan. Kenyir Bersatu pula melancarkan serangan. Sepakan gol oleh R. Arumugam sampai ke kaki Jamal Nasir. Bola dihantar kepada Ghani Minhad yang kemudiannya menggelecek empat pemain lawan. Di sebelah kirinya menunggu Supermokh sebaris dengan Rio Ferdinand.

Ghani menunggu Supermokh berundur sedikit. Sebaik saja rakannya beraksi seperti yang dimahukannya, Ghani menolak bola. Gerakan 1-2 berlaku. Ghani menyerbu hantaran balas Supermokh dengan satu gerakan yang memperdayakan pertahanan Red Devils itu. Bola ditolak ke sudut gawang. Penyokong kuning emas bangkit. Alex Ferguson menyerbu ke arah pengadil keempat dan membantah hingga beberapa meter ke tengah padang.

Azharuddin meletakkan wisel ke mulutnya.

“Priiit!"

Azharuddin terduduk. Suasana hingar-bingar hilang tiba-tiba. Baru dia sedar bahawa dia berada di sofa di rumahnya. Di muka pintu kelihatan ayahnya berdiri dengan lemah dalam pakaian seorang pengadil bola sepak.

“Mujur kau dengar cakap ayah dan tak ikut ke padang. Teruk ayah dan dua penjaga garisan kena kejar tadi,” kata ayahnya sambil memujuk Azharuddin yang belum kering air mata kerana merajuk tidak diajak ayahnya ke Padang Astaka Kuala Berang.

“Bergaduh lagi pasukan yang abang adili?” tanya ibu Azharuddin dari dapur.

“Ya! Perlawanan di padang yang satu lagi pun macam tu”

“Berhentilah menjadi pengadil bola sepak kalau macam tu, bang!”

“Jangan! Saya bercakap dengan Mark Clattenberg tadi. Dia kata, pengadil kena tabah. Tak boleh tunduk kepada tekanan,” kata Azharuddin sambil teringat pesanan lelaki Inggeris kepadanya dalam mimpinya sebentar tadi.

“Mark Clattenberg?” Ayah Azharuddin hairan. Dia ingat-ingat lupa siapa lelaki itu.

“Ya, kami bercakap di Old Trafford tadi. Ini wisel yang dia beri kepada saya,” balas kanak-kanak itu sambil menunjukkan wisel Fox 40 kepada ibunya.

Ibu dan ayah Azharuddin terpinga-pinga

Cerpen Fox 40 nukilan Alias Ismail ini disiarkan di Utusan Malaysia pada 10 Januari 2010 yang lalu.

'Lab Report': UNGS 4319



TITLE
Penyembelihan lembu korban

OBJECTIVES
1) Kene la tau camane nak sembelih, lapah daging ni. Sampai bila nak harap kat orang-orang tua (pesan untuk diri sendiri juga).

2) belajar hukum-hukum dalam ibadah korban

3) Nak tambah carry mark untuk UNGS 4319 (objektif ni sepatutnya ade kat semua lab report subjek-subjek lain)
.
INTRODUCTION
(copy paste je kat mana-mana dalam internet. Lecturer tengok result ngan discussion je. Tak baca part intro ni)
.
MATERIALS AND APPARATUS
• Seekor lembu sihat
• Beberapa bilah pisau tajam
• Sebilah kapak atau golok
• Sekurang-kurangnya 4 utas tali sederhana tebal
• Pelepah nipah
• Kayu penyangga
• Penimbang
• Sebuah kereta labi
• Satu jag air sejuk penghilang dahaga

METHODS AND PROCEDURES

1. Bagi makan kat lembu secukupnya. Pastikan beliau dalam keadaan sihat walafiat. Pesan kat budak-budak, jangan main baling-baling batu kat lembu tersebut. Tak baik.

2. Selepas solat sunat hari raya aidiladha, tukar pakaian raya dengan sut yang lain. Dilarang pakai baju melayu raya semasa proses penyembelihan kerana itu tandanya anda tidak mahu menyumbang tenaga.
.
3. Bawa lembu ke tempat lapang. Pastikan tempat lapang itu tidak terlalu berbatu tajam untuk mengelakkan kesakitan pada lembu tersebut ketika landing. Pastikan juga kawasan lapang itu ada 2 atau 3 batang pokok atau tiang sebagai tempat menyimpul tali.

4. Gunakan teknik simpul tali yang betul untuk membuat satu simpulan tali pada leher lembu tersebut. Tali kedua digunakan untuk membuat ikatan pada kaki sebelah depan. Tali ketiga digunakan untuk membuat ikatan pada kaki sebelah belakang. Kaki kiri atau kanan? Bergantung kepada sebelah mana anda mahu lembu itu rebah. Kalau nak lembu tu rebah sebelah kiri, ikat pada kaki kiri untuk depan dan belakang (Sunat rebahkan lembu itu ke sebelah rusuk kiri)

5. Pastikan tali yang digunakan tidak terlalu halus untuk ikatan di tengkuknya. Nanti, seksa lembu tu terjerut. Cara ikatan juga hendaklah betul. Di sini, anda akan mula menghargai pembelajaran teknik simpul tali ketika anda masuk pengakap zaman sekolah dulu.

6. Peringkat ini paling kritikal. Sesi merebahkan lembu. Oo ye, sebelum tu, kena akad dulu. Kalau masih belum akad jual beli, kena akad dulu. Contohnya, “saya beli sebahagian lembu hok Pok Mat beli nih” lalu dijawab Pok Mat, “saya jual”. Then, akad pada tukang sembelih pulak. Contohnya, “Saya wakil ke Ayoh Chik untuk sembelih lembu korban ni untuk bahagian saya”. Semua yang mengambil bahagian untuk lembu tersebut mestilah akad dulu kat tukang sembelih tu. Ok, bereh bahagian akad.

7. Jom kite perebah lembu pulak. Tenaga kerja yang ramai diperlukan untuk sesi ini. Kalau anda tidak tahu menahu tentang teknik melapah daging, anda boleh turut serta dalam merebahkan lembu. Pegang tali sikit pun dah ok lah tu. Sekurang-kurangnya anda menyumbang sesuatu.

8. Sekarang, kita nak rebahkan lembu tu ke sebelah kiri so, ikat tali pada kaki kirinya, depan dan belakang. Tali-tali ini akan ditarik ke sebelah kanan. Tali pada tengkuknya tadi ditambat pada sebatang tiang atau batang pokok. Jika semua sudah bersedia, ayuh kita mulakan. Tarikk!!! Tali yang diikat pada kaki kiri tadi ditarik ke sebelah kanan oleh beberapa orang sehinggalah lembu tu landing dengan sopannya jika jinak. Kalau liar, mungkin akan mengambil masa yang lama.

9. Lembu yang terpinga-pinga sudah terbaring. Tali yang diikat pada sebelah kaki tadi disimpulkan pada keempat-empat kaki lembu tersebut. Tukang sembelih dengan muka yakin sedia dengan pisau yang tajam. Lembu tersebut akan di’khejong’ oleh seramai mungkin. Ini untuk mengelakkan lembu itu meronta-ronta ketika disembelih.

10. Tiba saat yang paling penting, sambil membaca selawat dan doa serta bismillah, Tukang sembelih mengeluarkan pisau yang disorok dari lembu dari tadi lalu memotong dua urat yang utama. Urat ape adik-adik? Ye..betul. Urat halkum dan urat merih. Kalau tak terpotong dua urat ni, kira tak sah la sembelihan tu. Yang ambil bahagian dalam korban ni, jangan terlalu ralit menonton. Anda wajib niat korban sebelum sembelihan dilakukan.

11. Saat ini paling sayu. Lembu yang diberkati itu meronta-ronta sehinggalah ia menghembuskan nafas terakhir. Bila dah kompem, lembu tu sudah tidak bernyawa, barulah sesi melapah dilakukan.

12. Teknik melapah memerlukan skil dan kemahiran yang tinggi untuk memastikan pembaziran tidak berlaku. Orang yang kurang mahir biasanya akan menanggalkan kulit lembu beserta dagingnya sekali dan jika dihiris daging yang melekat pada kulit tersebut boleh mencapai angka berkilogram banyaknya.

13. Part melapah ni, boleh buat 2 atau 3 orang. Biasanya dimulakan dengan membuat gelung kat kaki. Contohnya, untuk kaki belakang, buat hirisan gelung pada atas kasut lembu tersebut. Selepas itu, bermula dari gelungan itu, kulit lembu dihiris ke bawah sehingga ke bahagian pelvic.

14. Begitu juga kaki hadapan, gelung dibuat sebelum hirisan dilakukan ke bawah sehingga ke bahagian andomen. Proses membuang kulit amat susah. Ini kerana, banyak daging yang melekat pada kulit tersebut. Lebih-lebih lagi, daging bahagian ini yang lebih dikenal sebagai daging selasih, amat lembut dan sesuai untuk barbecue. Proses menanggalkan kulit haruslah dilakukan secermat mungkin.

15. Jika sudah dinyahkulit, keempat-empat belah kaki tersebut dipotong dan digantung untuk sesi melapah seterusnya. Pelapah-lapah daging di bahagian seterusnya akan berusaha memastikan tulang yang tinggal seputih mungkin. Jika ada kemerah-merahan, itu tandanya masih ada daging yang melekat pada tulang tersebut. Kalau boleh, ketika sesi melapah dilakukan, jangan dibuat di tempat berpasir kerana jika daging terkena pasir, amatlah susah untuk menanggalkannya kembali.

16. Selepas dipotong keempat-empat kaki, tiba masa untuk membelah tulang rusuknya. Sebelum itu, pastikan urat utamanya (kelihatan seperti paip mesin basuh) ditarik keluar terlebih dahulu.

17. Setelah dikeluarkan tulang rusuknya, tibalah sesi terakhir. Bahagian dalaman dikeluarkan satu persatu dengan berhati-hati. Mula-mula, cari hempedu dulu. Lepas jumpa, buang. Selepas itu, bahagian-bahagian lain seperti limpa,hati, ‘telepung’ etc dikeluarkan. Proses ini haruslah dilakukan dengan berhati-hati kerana jika tersilap langkah, ia bisa membocori perut lembu tersebut. Jika terbocor, keluarlah segala cairan hijau yang mengeluarkan haruman yang kurang menyenangkan.

18. Malas nak cite panjang, bila dah bawak keluar semua, perut itu bersama usus-ususnya dikeluarkan dan diangkut dengan menggunakan kereta labi untuk dibuang di tempat lain.

19. Semua bahagian lain dilapah termasuk kepala lembu tersebut.

20. Daging-daging ditimbang mengikut bahagian yang telah ditetapkan.

RESULTS AND OBSERVATIONS



DISCUSSION

Korban (dipanggil gherban dalam bahasa Terengganu) bermaksud menyembelih binatang ternakan pada hari Aidiladha dan pada hari-hari Tashriq dengan tujuan untuk beribadah. Hukum asal ibadah korban adalah sunat muaakkad (sunat yang sangat dituntut) ke atas orang islam yang baligh serta sempurna akal. Maka, tidak sah dibuat korban bagi orang yang hidup melainkan dengan izinnya dan tidak sah juga dibuat korban bagi orang yang telah mati jika si mati tidak berwasiat untuk berbuat demikian.

Jumhur ulama’ mengatakan ibadah korban adalah sunat ke atas orang yang mampu. Oleh itu, makruh bagi orang yang mampu berkorban tetapi tidak melakukannya. Walau bagaimanapun, jika ditinggalkan tanpa sebarang keuzuran, ia tidak berdosa dan tidak wajib mengqada’nya.

Korban hendaklah dilakukan setelah selesai solat sunat Aidiladha pada hari ke sepuluh Zulhijah hingga jatuh matahari pada 13 Zulhijah. Haiwan yang boleh dikorbankan terdiri daripada binatang ternakan tertentu atau binatang an’am iaitu bagi kambing, biri-biri atau kibash, seekor dijadikan korban untuk seorang, manakala bagi lembu, kerbau dan unta, seekor boleh dijadikan tujuh bahagian korban. Binatang tersebut juga hendaklah cukup umurnya. Jika ia seekor kambing,unta atau lembu, ia mestilah berumur 2 tahun lebih. Jika unta menjadi pilihan, umurnya mestilah melebihi lima tahun. Binatang korban hendaklah sihat, tidak berpenyakit dan selamat daripada kecacatan atau aib yang boleh mengurangkan dagingnya atau bahagian lain yang boleh dimakan.

Sunat bagi orang yang empunya korban memakan sebahagian daripadanya. Firman Allah Taala dalam Surah Al-Hajj, ayat 28 bermaksud: "Dengan yang demikian, makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang-orang yang susah yang fakir miskin." Bagi korban yang diwasiatkan oleh si mati, maka orang yang melaksanakannya tidak boleh memakan daging korban wasiat tersebut dan ia juga tidak boleh dihidangkan kepada orang kaya kecuali hal ini sudah diwasiat sedemikian.

Berdasarkan ayat tadi, para ulama’ berpendapat bahawa selain daripada sunat dimakan, ia juga wajib untuk disedekahkan kepada orang-orang fakir atau miskin yang Islam dalam keadaan mentah lagi basah. Tidak memadai jika daging-daging korban itu dihadiahkan keseluruhannya kepada orang-orang kaya. Begitu juga tidak memadai, jika daging tersebut dimasak kemudian dipanggil orang-orang fakir dan miskin untuk memakannya kerana hak mereka itu bukan pada makan daging tersebut, tetapi memiliki daging berkenaan. Maka tidak tercapailah matlamat korban itu.

Menurut para ulama’, sunat bagi orang yang berkorban membahagikan daging korbannya kepada 3 bahagian. Satu pertiga untuk dimakan, satu pertiga untuk disedekah kepada fakir miskin dan satu pertiga lagi untuk dihadiahkan kepada orang kaya. Namun, yang afdhal adalah disedekahkan semuanya, melainkan dimakannya sedikit sahaja iaitu kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya kerana ini lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan jauh daripada sifat mementingkan diri sendiri.

Memberikan daging korban sunat sebagai hadiah kepada orang kaya islam adalah harus. Walau bagaimanapun, hadiah itu setakat untuk dimakan sahaja, bukan untuk tujuan memilikinya. Ini bererti dia tidak boleh menjualnya, membahagikannya atau sebagainya, kecuali mensedekahkan kepada fakir atau miskin.

Berbeza pula dengan fakir miskin, daging yang disedekahkan kepadanya itu menjadi milik mereka dan mereka dibolehkan untuk menjual daging tersebut atau membahagikan kepada orang lain jika mereka mahu.

Antara perkara yang wajib kita tahu ialah tidak sah dan haram menghadiahkan daging korban kepada kafir kerana ia adalah perkara yang berhubung dengan ibadat. Oleh sebab itu, sekiranya ada bahagian daging tersebut yang diberikan kepada bukan Islam, maka wajib diganti dengan daging lain menyamai kadar yang diberikan itu. Selain itu, kepala, kulit, tulang, ekor atau daging binatang korban haram dijadikan upah kepada penyembelih atau petugasnya, tetapi harus diberikan kepadanya atas nama sedekah atau hadiah.

CONCLUSION
Semoga Allah taala menerima amalan korban kita dan segala amalan lain yang telah dan akan kita lakukan.

REFERENCES
Khutbah Jumaat, 27 November 09 di Masjid Sungai Derhaka, Kuala Terengganu.

# methods dan prosedures di atas adalah berdasarkan pengalaman penulis semata-mata. Caranya mungkin berbeza di tempat lain.

# Hukum-hukum berkaitan ibadah korban di atas ditulis berdasarkan khutbah jumaat pada Aidiladha baru-baru ini di Masjid Sungai Derhaka. Teks khutbah tersebut disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu. Jika terdapat sebarang kesilapan, sila perbetulkan.

# Kenapa UNGS 4319? Kerana by 3rd semester of 4th year (selepas habis belajar la) kita (brothers) sepatutnya dah tau benda ni semua kerana ia penting untuk kita semua. (sebab tu kredit hour 9..heheh)


~Terima kasih kerana sudi membaca entri terpanjang ini~
.:::Selamat Hari Raya Aidiladha:::.

Kenali personaliti anda !

Assalamualaikum. Cuti mid semester, Ramadhan yang lalu sempat kuisi dengan menghabiskan buku Personality Plus, buah tangan penulis buku terlaris, Florence Littauer. Selepas dipromo oleh seorang sahabat, beliau sudi meminjamkan buku tersebut yang pada pengamatan saya, agak menarik untuk diterokai oleh rakan-rakan sekalian.

Florence Litteur menguraikan empat corak perangai atau sikap manusia. Setiap empat kelas ini diolah dengan begitu mendalam oleh beliau hasil kajian bertahun lamanya. Jika kita memahami setiap pengkelasan ini, tidak mustahil kita dapat memahami sikap sahabat-sahabat kita dengan lebih mendalam dan amat membantu dalam perhubungan seharian.

Golongan pertama ialah Sanguine. Mereka lebih bersikap happy go lucky dan agak disenangi oleh orang lain, malah sentiasa mencuri perhatian apabila berkumpul beramai-ramai. Mereka seringkali berbicara tanpa henti dan sering mengundang tawa sahabat yang lain. Hidup mereka penuh warna-warni dan menjadi penghibur kepada sahabat lain. Namun, golongan ini sedikit pelupa, sukar untuk menumpukan perhatian pada sesuatu pekerjaan, cenderung untuk berfikiran ‘pendek’ dan hidupnya kurang teratur. Mereka kurang menepati masa dan lupa pada perancangan yang telah direncanakan.

Golongan kedua ialah Melancholy. Mereka agak kontra berbanding golongan sanguine. Cenderung kepada sesuatu yang teratur, rapi dan tersusun, golongan ini juga gemar untuk melukis carta atau peta minda dalam setiap tugasannya dan memikirkan segalanya secara mendalam. Dalam sesebuah perbincangan, golongan Sanguine pasti mendominasi perbincangan tersebut dengan petah bicaranya, namun, golongan ini memilih untuk menganalisa, berfikir, mempertimbang dan hanya mendiamkan diri. Jika ada perkara yang diutarakan, pastinya itu adalah hasil dari pemikirannya yang agak mendalam. Namun, mereka agak senang untuk berputus asa dan tewas pada tekanan. Mereka juga terlalu perfectionist dan perlukan masa untuk menghasilkan suatu kerja yang dharapkan (anti last minute).

Golongan ketiga ialah Choleric. Mereka cenderung untuk memerintah dan menyuruh orang lain membuat kerja seperti yang dikehendakinya. Mereka amat benci jika ada 'ahli tidur' dalam kumpulannya. Jika terlibat dalam aktiviti berkumpulan, golongan ini lebih bersikap bossy dan lazimnya, golongan ini akan mengepalai perbincangan tersebut. Mereka sukar untuk menerima pendapat orang lain dan tegas dengan pendirian mereka. Oleh sebab itu, kebanyakan daripada mereka agak kurang disenangi oleh rakan sekeliling. Mereka juga cekap mengerjakan sesuatu perkara dan sangat ‘goal-oriented’. Namun, golongan ini agak sukar untuk mengungkap kata maaf dan takut jika dikawal oleh orang lain. Mereka agak overconfident dan sukar untuk bertenang.

Golongan keempat ialah Phlegmatic. Golongan ini bolehlah saya simpulkan sebagai 'si tenang'. Mereka tidak suka sebarang konflik dan gemar mengalah pada sesuatu perkara. Mereka bersikap neutral dan sukar untuk membuat keputusan. Gemarkan keharmonian, mereka mengambil berat tentang masalah sekeliling dan sering menjadi pendengar masalah sahabat-sahabat mereka. Golongan ini biasanya mempunyai ramai kawan dari pelbagai latar belakang dan fleksibel serta pandai menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan atau situasi. Namun, sikap terlalu bertenang boleh menyebabkan rakan-rakan mereka agak bimbang jika berkerja dengan mereka. Mereka juga agak cuai dan sedikit degil serta kurang motivasi.

Menurut kajian beliau, setiap daripada kita mempunyai kualiti-kualiti di atas. Yang berbeza hanyalah kadarnya. Oleh sebab itu, mungkin juga seseorang itu mempunyai kombinasi mana-mana golongan seperti yang diperincikan di atas. Buku ini juga menghuraikan langkah-langkah untuk mengatasi kelemahan bagi watak masing-masing. Namun perlu diingat, anda haruslah mengenali diri anda dahulu.

Adakah anda dominan di Sanguine yang ceria sepanjang masa? Atau anda seorang yang bossy dan tergolong dalam kumpulan Choleric? Mungkin juga anda selalu play safe dan mengelak sebarang konflik untuk melayakkan anda menjadi Phlegmatic person. Atau anda mungkin lebih bersikap memerhati dan menganalisa seperti melancholic person. Di manakah anda? Satu kuiz disediakan di awal buku ini untuk mengenal pasti siapakah diri anda yang sebenar. Dan anda juga boleh mengklasifikasikan rakan-rakan anda mengikut pengkelasan yang diberikan untuk lebih memahami mereka.

Buku ini agak sukar ditemui di pasaran. Beberapa rangkaian kedai Popular tidak menjual buku ini. Oktober lalu, saya berkesempatan memiliki buku ini ketika singgah di The Borders, Queensbay Mall, Penang walaupun sudah habis membacanya ketika cuti yang lalu. Kini, buku ini available untuk dipinjam. Terima kasih sekali lagi kepada sahabat yang memperkenalkan buku yang agak menarik ini. Jazakillah. Itu sahaja untuk kali ini. Selamat bercuti~

Do understand others by understanding yourself!

Wassalam~

The Story of Palestine

































Hey...WORLD
Did you hear me ???





Maher Zain - Palestine Will be Free
.
Every day we tell each other
That this day will be the last
And tomorrow we all can go home free
And all this will finally end
Palestine tomorrow will be free
Palestine tomorrow will be free

No mother no father to wipe away my tears
That’s why I won’t cry
I feel scared but I won’t show my fears
I keep my head high

Deep in my heart I never have any doubt
That Palestine tomorrow will be free
Palestine tomorrow will be free

I saw those rockets and bombs shining in the sky
Like drops of rain in the sun’s light
Taking away everyone dear to my heart
Destroying my dreams in a blink of an eye

What happened to our human rights?
What happened to the sanctity of life?

And all those other lies?
I know that I’m only a child
But is your conscience still alive

I will caress with my bare hands
Every precious grain of sand
Every stone and every tree
‘Cause no matter what they do
They can never hurt you
Coz your soul will always be free

Palestine tomorrow will be free
Palestine tomorrow will be free

Artist: Maher Zain
Album: Thank You Allah
.
Panjatkan doa walau sebaris kata..
Untuk kebahagiaan mereka di sana..
Wallahu'alam~

Gomo Kelate Gomo



Assalamualaikum. Entri ini ditulis sebaik saja aku pulang dari menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan. Ok cukup untuk intro yang ringkas lagi skema.

Aku takde la follow sangat Piala Malaysia ni. Dah terbiasa tengok match premier league, kalau tengok match Malaysia ni memang sakit ati. Menyeksa jiwa raga. Lagi sakit bila ulasan-ulasan komentetor yang melebih-lebih.

“Percubaan !!! ooouuh…sedikit saja lagi di situ”.. padahal jauh je dari tiang gol.

“Beliau ibarat mascherano Kelantan”…pehal plak nak letak nama-nama player EPL.

Dah la..malas nak sebut banyak-banyak.

Petang tadi, niat di hati ni memang suci murni dan bersemangat waja. ‘Malam ni, aku nak habiskan paling kurang 4 notes dosage design. Match final tu nak tengok live commentary update je kut tenet.’ Pikir balik lepas isyak tadi, baik aku pegi je tengok. Dengar kate fan klate 65,000 memenuhi stadium bukit jalil tu. Mesti hebat ni. Last-last pegi la jugak tengok bersama si raja di kedai puan zuzana. Segan la jugak. Ye la, baru je lepas maghrib tadi kenyang melantak mi goreng lembap ngan Nescafe o ais di sini. Tetiba datang balik tersengih-sengih duduk betul-betul depan tv. Akak tu memang seorang yang memahami pabila dia hanya tanya order minum sahaje.

Camane game? Hancur lebur. Jauh lagi teruk dari game final Sukma 08 yang dimenangi dengan bergaya oleh pasukan Terengganu (hehe..Tu je modal aku ada). Malah, permainan futsal pasukan 4th yr pamasi jauh lebih memikat hati. Pertahanan Kelantan nampaknya sangat gugup. Bila dapat bola je, terus gelabah macam main kotak beracun. Ketiga-tiga gol hasil kesilapan mereka. Fuh. Aku tabik spring kat dua striker Negeri sembilan, Zaquan ngan Hairudin (anak Setiu, Terengganu- dipinjam dari T-Team). Memang bahaya ah. Kompem kalo Rafa tengok, terus nak beli sebab nak pair ngan Ngog bila Torres keluar Liverpool nanti.


Tapi, walaupun hambar di padang, tapi tidak di tempat duduk. Baru 13 minit game, player N9 ni da kene baling-baling bila nak amik corner kick. Adeh, tak paham aku. Bila dah 3-0, memang stadium nampak kosong, kebakaran berlaku sana-sini . Gedebe sungguh. Botol air bersepah tepi padang. Mercun dibaling tak kira atas kepala orang ke, atas padang ke. Sampai berdarah-darah kepala sorang cameraman tu. Gedebe sungguh. Sib baik abang Halim Napi cool je walaupun bolos 3 bijik. Mungkin ketika gol ketiga dibolosi, dia mula memikirkan lembu-lembunya di kampung. Usahawan penternakan ini nampak rileks je walaupun dicop ranking 1st player paling gedebe. Encik Indra Putra plak memang nampak kesian. Walaupun baru dinobatkan penyerang terbaik Malaysia dan the most valuable player, tapi midfield midfield kelantan yang hancur lebur gagal supply hantaran-hantaran baik untuk beliau. Tambah pulak ngan si Aidil Zafuan ngan Shukor Adan kat Centerback. Shukor tu da la maen keras gila. Lagi keras dari classmate aku sorang ni. Cuma tak tau, si Shukor ni sepak tonjol macam bro tu ke tak. Si Aidil Zafuan pulak, tak sampai 30 minit da kena tackle keras. Sib baik tak teruk sangat injured. Kalo tak, aku yakin season depan dia keluar team Negeri Sembilan, pi belakon Samarinda ngan isteri dia, Rita Rudaini.

Hoho..lupe nak cite. Tadi bukan dalam stadium je panas beb. Kat luar pun panas bai. Kat mane? Sini haa. Tempat aku tengok bola tu. Gerai Zuzana tu la. Ade sekumpulan mamat ni, ade rambut karat cacak kat atas, subang besi, dan macam-macam style lagi yang kalo korang tengok kompem nak menangis terharu biru campur ketakutan skit-skit. Tetiba plak mamat sorang tu mengamuk.

"Hooooiiii!!"

"Mu nok gapooo???"

"Mu nok aku, mu mari sini.!!"

"Nok gaduh cakap nok gaduh.!!"

"Isap dadoh, isap dadoh situ ah!!"

Aku blank..Kelantangannya terbau Kelantan. Memang oghe gedebe kelate kot. Diorang duk jauh berdekatan pokok. Laung kat mamat waiter yang tengah kumpul kat sebelah tempat makcik yang konsisten jual kerang ngan ikan bakar dia tu. Tetiba je geng gedebe ni. Rilek ah boh. Nok gocoh gi bukit jalil ah. Nak gaduh ngan waiter zuzana tu buat ape. Kalo pi bukit jalil, bole bakar stadium. Bole masuk TV. Awop mu pun ramai. Bakar monorel ke. Baru ganas bos. Setakat sound waiter zuzana. Hahaha.

Hmm..dah la tu. Besok tengok team merah satu lagi. Mintak mintak team merah yang tu tak main macam team merah tadi. Glory-glory Man United..heheh~ Okeh..Tu je bebelan untuk kali ini. Untuk penutup, ni dia Hadiah untuk Penyokong-Penyokong Red Warriors bertajuk ‘Nangka itu Sedap’..Penawar hati yang duka lara..Sekian.

12.40 pm 7 Nov 09


Nak berenti tapi...



“teeet….teet teet teet”

Gajet biru itu terus berbunyi. Nyala merah gajet itu terlampias di kerut muka pakcik itu. Umurnya 50 an. Muncung mulutnya menghembus sekuat hati udara ke dalam alat pengukur kandungan karbon monoksida itu. Perasaan takut jelas kelihatan di riak wajahnya dek nyala merah terus garang diiringi melodi isyarat yang makin menjadi-jadi.

“Dah habis dah pakcik?”

Dia mengangguk perlahan.

“Banyak sangat ke gas racun dalam paru-paru pakcik,” tanya pakcik itu penuh minat. Sebelum ujian dilakukan, fungsi gajet itu diterang seringkas mungkin. Pengukur karbon monoksida, terhasil dari rokok, mungkin juga dari asap kenderaan,gas ini tak bagus, beracun. Itu antara poin-poin peneranganku.

“20 lebih pakcik. Kalau orang tak hisap rokok, 1 atau dua je. Ni banyak sangat pakcik.” Jelasku ringkas.

“Pakcik memang nak berhenti nak. Tapi tak tahu macam mana. Pakcik ada anak, ada isteri. Pakcik tau benda ni bahaya.”Aku mendengar penuh minat. Pakcik itu jelas ketakutan. Mungkin dek isyarat pCO meter tadi yang agak psyko.

“Takpe pakcik. Nanti saya terang satu persatu kat pakcik camane nak berenti. Bagus la pakcik nak berenti merokok. Yang penting azam tu je. Tadi, mungkin pakcik baru lepas merokok, bacaan alat ni tinggi skit” Jelas aku menenangkannya. Dia mengiyakan agakan aku.

Itulah antara ragam berpuluh-puluh perokok yang datang ke kaunter kaunseling berhenti merokok di Masjid Cenderawasih , sempena program khidmat kesihatan penduduk Cenderawasih 2009, semalam. Program smoking cessation ini diadakan kali kedua setelah kempen bebas rokok di dijalankan dengan jayanya di Festival UIAM Kuantan minggu lepas.

Hasil dua program awal ini, puluhan perokok sudah dirujuk ke pihak yang sepatutnya. Mana-mana yang berkerja dan agak berpendapatan di dirujuk ke farmasi-farmasi yang berdaftar dengan Certified Smoking Cessation Service Provider (CSCSP). Golongan berpendapatan sederhana dirujuk ke klinik kesihatan dan HTAA untuk program rawatan susulan. Sepanjang 3 hari program ini berjalan, aku dapati, perokok-perokok mula sedar tentang bahaya merokok. Cuma mereka kurang arif tentang cara yang sebetulnya, malah ada yang tidak tahu-menahu kewujudan rawatan farmakoterapi untuk berhenti merokok. Sepanjang dua program ini juga, pelbagai ragam dapat dilihat. Ada yang suami isteri merokok, ada bukan perokok tapi satu family perokok, ada yang nak berhenti bila dapat anak perempuan, dan macam-macam lagi.

Program-program berhenti merokok ini adalah antara gerak langkah awal IIUM Green Lung Team (sebelum ni dikenali dengan iPATCH team-IIUM Pharmacy Action in Tobacco Control & Health Team) yang baru sahaja berusia setengah tahun di UIAM ini. Kumpulan yang dinaungi oleh Pusat Racun Negara ini diketuai oleh 4 pelajar termasuk Azwadi, Raja Afiq, Amin Mansor dan saya sendiri yang telah menjalani latihan (Capacity Building Workshop: Creating Tobacco Control Youth Leaders among Undergraduate Students in Malaysian Universities) selama seminggu di PRN Jun lalu.


Penubuhan kumpulan ini melengkapkan impianku untuk menyempurnakan amanah yang diberikan oleh mantan Deputy Dean Students Affairs, Dr Razak Mac lalu ketika aku masih memegang jawatan presiden IPhA.

“Sekarang kita dah ada Natural Medicinal Product Center. Kalau boleh akan datang kita nak buat smoking cessation punye. Kita ada Prof Haniki tapi tak ada man power yang betul-betul boleh tolong. Jadi kalu boleh, IPhA buatlah satu team yang betul-betul expert dalam bidang ni. Kita train betul-betul, so, mana-mana program pasal rokok ni, kita akan hantar diorang. Jadi, kita akan hasilkan students yang aktif dalam tobacco control ni dari tahun ke tahun”

Itu sedikit sebanyak yang aku ingat selepas dipanggil Dr Razak sekitar mac dulu. Sekarang, team ni dah ada dan harap-harap lebih 70 pelajar yang mendaftarkan diri dapat memberikan komitmen masing-masing. Untuk pendedahan pertama di I-Quest lalu, double thumbs up untuk sape-sape yang terlibat. Korang memang ada bakat walaupun baru 1st year dan 2nd year. InsyaAllah, jika tiada masalah, sesiapa yang berkelayakan akan dihantar ke program latihan peringkat nasional kelolaan PRN di Penang, Disember ini. Info lanjut akan diberitahu kemudian. Ok, itu saja untuk kali ini.

Hidup sihat tanpa rokok!
Wassalam~


Appreciation: terima kasih buat semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam Smoke Free Campaign, I- Fest di IIUM Kuantan Festival minggu lalu. Juga penghargaan tidak terhingga buat Pusat racun Negara dan sifu-sifu aktivis anti-tobacco kami termasuklah Prof haniki, Puan Su, Puan Haslina, Bro Salihin, Prof Rahmat serta staf-staf PRN yang lain=)

Perjalanan Duka Memburu Al-Qadar


Malam menghampiri jam satu. Adam menutup jendela Yahoo Messengernya. Tangannya mencapai sehelai kain pelekat biru. Derap langkah diatur keluar dari rumah yang sudah gelap itu.Dua bantal kecil dibimbitnya menuju ke sebuah motorsikal tua. Berbekalkan dua bantal kecil dan sehelai kain pelikat, Adam membelah malam sepi itu dengan satu misi, memburu lailatul qadar.

Destinasi pertama, sebuah masjid besar di kampungnya. Kelihatan gelagat beberapa anak-anak muda sekampungnya masih berkumpul berborak kosong. Deruan enjin motorsikal tua itu menghampiri masjid yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Sepi, tidak berpenghuni. Dia mengeluh sendirian. Program qiamullai tidak dianjurkan di sini. Matanya tertancap pada sebuah wakaf yang meriah dengan beberapa golongan berumur bermain dam.

Adam meneruskan perjalanan ke masjid seterusnya. Sebuah masjid yang agak terkenal di negeri ini. Perjalanan hampir dua kilometer itu dihidangkan dengan beberapa lagak ngeri pelumba jalanan. Si rempit memeriahkan hujung ramadhan ini dengan aksi-aksi menarik. Adam meluncur laju tanpa topi keledar. Hajat asalnya hanya bermalam di masjid kampungnya, lantas topi keledar dilupakan begitu sahaja.

Sesampainya di masjid serba putih itu, sekali lagi dia dipalit rasa kecewa. Berkunci. Sunyi sepi. Masjid yang begitu besar ini tidak dimeriahkan dengan aktiviti malam di penghujung ramadhan ini. Ramadhan masih bersisa kurang tiga hari. Dia termenung sendirian. Otaknya ligat menyelongkar masjid-masjid yang berpotensi untuk dijadikan tempat iktikaf. Cahaya biru mula memancar di langit gelap.

Motorsikal itu dipacu tanpa hala tuju. Mata Adam menggelintar kiri dan kanan, mencari masjid atau surau yang berpenghuni, mencari tempat di mana program qiamullai dianjurkan, sepertimana yang dinikmatinya di Kuantan. Ketika pantas melintasi sebuah pasar, kelibat seekor anak kucing di birai jalan memberhentikan motorsikalnya. Dia kembali ke tempat anak kucing itu. Kelihatan seorang wanita tua dengan lagak kurang siuman mencangkung tidak jauh dari anak kucing itu. Matanya merenung tajam makhluk comel itu. Adam membatalkan hasrat untuk mengalihkan kucing putih itu. Misinya diteruskan untuk mencari tempat beriktikaf.

Sepanjang perjalanannya, kebanyakan masjid dan surau yang ditemui tidak berpenghuni, tertutup rapat. Yang meriah hanyalah kedai-kedai makan yang menjadi tempat berkumpul peminat-peminat bola sepak. Malam ini, berlangsung perlawanan bola sepak antara dua gergasi iaitu Inter Milan menentang Barcelona. Terdapat juga golongan-golongan tua yang masih berkumpul di wakaf-wakaf bermain dam. Golongan mat rempit juga tidak kurang hebatnya. Oh, meriahnya penghujung Ramadhan di sini.

Cahaya biru berterusan menyala-nyala di atas sana. Tidak lama selepas itu, hujan turun dengan lebatnya. Adam basah kuyup. Peluru-peluru titis hujan menghentam bebola matanya. Makin laju motorsikal dipacu, makin pedih matanya dibidik. Dia berteduh sebentar di sebuah surau yang cantik. Beberapa buah motorsikal dan kereta diparkir di luar surau. Di dalamnya, kelihatan dua saf jemaah yang hampir kesemuanya berjubah putih sedang mendirikan solat sunat tahajjud. Namun, program di surau ini hampir berakhir. Mereka tidur setelah jam 10 kerana program tersebut bermula jam 12 dan berakhir jam dua. Adam sekali lagi dipalit duka.

Setelah hujan sedikit reda, dia meluncur laju pulang ke rumah. Waktu menghampiri jam dua setengah. Dia tiba di rumah. Kesejukan. Dua bantal kecilnya bersama sehelai kain pelekat basah kuyup. Sangat kecewa. Impiannya untuk bermalam beriktikaf di masjid pada setiap malam ganjil di penghujung ramadhan ini, terkubur di sini. Dia terlelap tika tersandar keletihan di katilnya. Sebaik tersedar dari tidur, jam sudah menunjukkan angka lima. Sedih. Ya Allah, kurniakanlah Lailatul Qadar buatnya. Ameen.

* * * * *

Sabda Nabi Muhammad SAW

Allah Subhanahu Wataa’la turun setiap malam ke langit dunia ketika masih berbaki 1/3 malam yang akhir. Allah berfirman, sesiapa berdoa kepada-Ku, pasti Aku makbulkannya, sesiapa meminta kepada-Ku, pasti Aku memberinya, sesiapa mohon ampun kepada-Ku, pasti Aku ampuninya

Sahih Bukhari, Kitab At-Tahajjud, No 1145

Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Al Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam Al Qadar itu? Malam Al Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun para malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.

Surah Al-Qadr (1-5)