Perjalanan Duka Memburu Al-Qadar


Malam menghampiri jam satu. Adam menutup jendela Yahoo Messengernya. Tangannya mencapai sehelai kain pelekat biru. Derap langkah diatur keluar dari rumah yang sudah gelap itu.Dua bantal kecil dibimbitnya menuju ke sebuah motorsikal tua. Berbekalkan dua bantal kecil dan sehelai kain pelikat, Adam membelah malam sepi itu dengan satu misi, memburu lailatul qadar.

Destinasi pertama, sebuah masjid besar di kampungnya. Kelihatan gelagat beberapa anak-anak muda sekampungnya masih berkumpul berborak kosong. Deruan enjin motorsikal tua itu menghampiri masjid yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Sepi, tidak berpenghuni. Dia mengeluh sendirian. Program qiamullai tidak dianjurkan di sini. Matanya tertancap pada sebuah wakaf yang meriah dengan beberapa golongan berumur bermain dam.

Adam meneruskan perjalanan ke masjid seterusnya. Sebuah masjid yang agak terkenal di negeri ini. Perjalanan hampir dua kilometer itu dihidangkan dengan beberapa lagak ngeri pelumba jalanan. Si rempit memeriahkan hujung ramadhan ini dengan aksi-aksi menarik. Adam meluncur laju tanpa topi keledar. Hajat asalnya hanya bermalam di masjid kampungnya, lantas topi keledar dilupakan begitu sahaja.

Sesampainya di masjid serba putih itu, sekali lagi dia dipalit rasa kecewa. Berkunci. Sunyi sepi. Masjid yang begitu besar ini tidak dimeriahkan dengan aktiviti malam di penghujung ramadhan ini. Ramadhan masih bersisa kurang tiga hari. Dia termenung sendirian. Otaknya ligat menyelongkar masjid-masjid yang berpotensi untuk dijadikan tempat iktikaf. Cahaya biru mula memancar di langit gelap.

Motorsikal itu dipacu tanpa hala tuju. Mata Adam menggelintar kiri dan kanan, mencari masjid atau surau yang berpenghuni, mencari tempat di mana program qiamullai dianjurkan, sepertimana yang dinikmatinya di Kuantan. Ketika pantas melintasi sebuah pasar, kelibat seekor anak kucing di birai jalan memberhentikan motorsikalnya. Dia kembali ke tempat anak kucing itu. Kelihatan seorang wanita tua dengan lagak kurang siuman mencangkung tidak jauh dari anak kucing itu. Matanya merenung tajam makhluk comel itu. Adam membatalkan hasrat untuk mengalihkan kucing putih itu. Misinya diteruskan untuk mencari tempat beriktikaf.

Sepanjang perjalanannya, kebanyakan masjid dan surau yang ditemui tidak berpenghuni, tertutup rapat. Yang meriah hanyalah kedai-kedai makan yang menjadi tempat berkumpul peminat-peminat bola sepak. Malam ini, berlangsung perlawanan bola sepak antara dua gergasi iaitu Inter Milan menentang Barcelona. Terdapat juga golongan-golongan tua yang masih berkumpul di wakaf-wakaf bermain dam. Golongan mat rempit juga tidak kurang hebatnya. Oh, meriahnya penghujung Ramadhan di sini.

Cahaya biru berterusan menyala-nyala di atas sana. Tidak lama selepas itu, hujan turun dengan lebatnya. Adam basah kuyup. Peluru-peluru titis hujan menghentam bebola matanya. Makin laju motorsikal dipacu, makin pedih matanya dibidik. Dia berteduh sebentar di sebuah surau yang cantik. Beberapa buah motorsikal dan kereta diparkir di luar surau. Di dalamnya, kelihatan dua saf jemaah yang hampir kesemuanya berjubah putih sedang mendirikan solat sunat tahajjud. Namun, program di surau ini hampir berakhir. Mereka tidur setelah jam 10 kerana program tersebut bermula jam 12 dan berakhir jam dua. Adam sekali lagi dipalit duka.

Setelah hujan sedikit reda, dia meluncur laju pulang ke rumah. Waktu menghampiri jam dua setengah. Dia tiba di rumah. Kesejukan. Dua bantal kecilnya bersama sehelai kain pelekat basah kuyup. Sangat kecewa. Impiannya untuk bermalam beriktikaf di masjid pada setiap malam ganjil di penghujung ramadhan ini, terkubur di sini. Dia terlelap tika tersandar keletihan di katilnya. Sebaik tersedar dari tidur, jam sudah menunjukkan angka lima. Sedih. Ya Allah, kurniakanlah Lailatul Qadar buatnya. Ameen.

* * * * *

Sabda Nabi Muhammad SAW

Allah Subhanahu Wataa’la turun setiap malam ke langit dunia ketika masih berbaki 1/3 malam yang akhir. Allah berfirman, sesiapa berdoa kepada-Ku, pasti Aku makbulkannya, sesiapa meminta kepada-Ku, pasti Aku memberinya, sesiapa mohon ampun kepada-Ku, pasti Aku ampuninya

Sahih Bukhari, Kitab At-Tahajjud, No 1145

Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Al Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam Al Qadar itu? Malam Al Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun para malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.

Surah Al-Qadr (1-5)
0 Responses